Berita

Jbpm Sedia Garis Panduan Bina Stesen Pengecas Kenderaan Elektrik



Oleh Noraizura Ahmad

PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini telah menyediakan garis panduan untuk membina stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), di premis seluruh negara.

Pengarah Bahagian Ope­rasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Datuk Ahmad Izram Osman berkata garis panduan tersebut, sudah diserahkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk dinilai sebelum diumumkan kelak.

“Bagi menyiapkan garis panduan ini, kita bekerjasama dengan Persatuan Arkitek Malaysia, Persatuan Kenderaan Pelepasan Karbon Sifar (ZEVA), dan pelbagai badan bukan kerajaan.

“Antara cadangan dalam garis panduan tersebut ialah jarak kenderaan daripada laluan masuk dan keluar premis, tingkat yang sesuai untuk pemasangan dan pelbagai perkara lain,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Ahmad Izram berkata garis panduan tersebut ialah prosedur permohonan dan kelulusan pemasangan stesen pengecas EV di premis, sama ada di dalam atau di luar bangunan dengan melihat daripada sudut keselamatan kebakaran.

Beliau berkata, garis panduan tersebut disediakan untuk kawalan keselamatan kebakaran bagi pemasangan stesen pengecas EV di premis dan kawasan komersial sahaja, serta tidak melibatkan lokasi kediaman.

Ahmad Izram berkata setakat ini, terdapat 1,063 stesen pengecas EV seluruh negara dan kerajaan menjangkakan 10,000 stesen menjelang 2025.

Selain itu, Ahmad Izram berkata proses pemadaman melibatkan EV memerlukan penggunaan air yang banyak dan memakan masa, serta berisiko untuk terbakar semula.

Beliau berkata antara risiko yang boleh menyebabkan kebakaran EV ini ialah bateri, keadaan jalan raya, cuaca persekitaran dan stesen pengecas.

“Sebagai contoh kemalangan di jalan raya seperti jika ada kepanasan atau geseran, itu boleh menyebabkan kebakaran, kerana bateri kenderaan elektrik ini ditempatkan di lantai atau bawah kereta itu.

“Selain itu boleh berlaku lintar pintas dalaman dan luaran, terlebih voltan, terlebih cas, kepanasan luaran dan kerosakan buatan...ini memberi kesan kepada suhu naik dan boleh merebak ke kenderaan lain,” katanya.

Ahmad Izram berkata setakat ini pihaknya menggunakan medium pemadaman secara konvensional iaitu menggunakan air dan buih (foam), serta beberapa peralatan khas seperti sarung tangan khas.

Beliau berkata sarung tangan tersebut disediakan di dalam setiap jentera JBPM sejak 2015, ketika negara menghadapi kemasukan kenderaan hibrid.

“Kenderaan hybrid ini menggunakan bateri dan petrol dan kita pelajari cara untuk proses pemadaman kenderaan yang menggunakan bateri sepenuhnya.

“Kenderaan elektrik pula memerlukan kaedah penyejukan untuk proses pemadaman kerana ia mempunyai thermal runaway, jika tidak dicegah api akan merebak ke tempat lain...beza (cara pemadaman) dengan kenderaan yang ada ketika ini, kita selalunya menggunakan air bergantung kepada situasi dan tidak mengambil masa lama,” katanya.

Beliau berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan membabitkan kenderaan elektrik, namun sebanyak lapan laporan kenderaan jenis hibrid, diterima pada tahun ini.

Selain itu, terdapat satu laporan membabitkan kebakaran empat skuter elektrik di Kuala Lumpur pada April lepas, yang turut menyebabkan sembilan motosikal terbakar dalam kejadian itu.

Ahmad Izram berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pembekal pemasang kenderaan elektrik, bagi mengenal pasti bahagian kenderaan yang boleh membantu kepada usaha pemadaman, sekiranya terbakar.

“JBPM sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan berlaku kebakaran melibatkan kenderaan elektrik ini...kita akan gunakan kelengkapan sedia ada, selain meneruskan kesedaran awam mengenai perkara ini,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dilaporkan berkata dalam usaha memperluas ekosistem EV di negara ini, pemasangan lebih banyak stesen pengecas EV merupakan satu aspek yang perlu diberikan tumpuan utama, dengan menyasarkan 10,000 stesen pengecas EV menjelang 2025.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]