Berita

Central Medicare Manfaatkan Kepakaran Tenaga Solar Tnb, Sasar Pengurangan Kos Rm72 Juta

Tenaga Nasional Berhad (TNB) President and Chief Executive Officer, Datuk Baharin Din (Credit: TNB)

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Kerjasama Tenaga Nasional Bhd (TNB) dengan Central Medicare Sdn Bhd (CMSB) untuk memperkenalkan tenaga solar di tapak kilang dan asrama milik CMSB  di Teluk Intan, Perak, dijangka membantu pembuat sarung tangan itu mengurangkan kos sehingga RM72 juta dalam tempoh 25 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HARPS Global Pte Ltd, Haziq Zairel Oh berkata dengan jumlah kapasiti 6.039 megawatt puncak (MWp), sistem solar fotovoltaik bahagian atas bumbung boleh mengurangkan pelepasan karbon sebanyak kira-kira 5,215 tan setahun.

HARPS Global Pte Ltd ialah syarikat induk kepada CMSB.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan TNB dan HARPS pada Ahad untuk mengumumkan pemeteraian perjanjian bekalan tenaga boleh baharu (SARE) di antara HARPS dengan anak syarikat milik penuh firma utiliti itu, GSPARX Sdn Bhd baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata pelaksanaan inisiatif teknologi hijau itu adalah sejajar dengan dedikasi pengeluar kuasa itu terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selain bertujuan meningkatkan kesan positif kemajuan mesra alam di samping mempromosikan kesejahteraan sejagat.

“Majlis pemeteraian itu melambangkan komitmen kukuh semua pihak untuk bekerjasama ke arah matlamat yang sama: mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 melalui amalan mampan dalam ekosistem perniagaan dan komuniti kita,” katanya.

Pemasangan akan disiapkan menerusi dua fasa -- yang pertama menjelang akhir September 2023 dan yang kedua pada akhir Jun 2024.

“Setelah selesai pemasangan, solar atas bumbung boleh menyediakan 8,163 megawatt jam tenaga solar setahun. Ini bersamaan dengan lebih 5,000 tan ofset karbon dioksida setiap tahun, bersamaan dengan lebih 58,000 anak pokok yang ditanam selama 10 tahun,” katanya.

Selain menandatangani SARE, CMSB berjaya memperbaharu langganan Tarif Elektrik Hijau dengan kapasiti 10 gigawatt jam sebagai menyokong komitmen Malaysia untuk menjadi negara sifar karbon seawal 2050.

SARE itu ditandatangani di Ipoh, Perak pada 27 Jun, 2023 oleh Haziq Zairel; Ketua Runcit Negeri Perak, TNB Mohd Azhar Rashid dan Pengarah Urusan GSPARX, Elmie Fairul Mashuri.

Pemeteraian itu disaksikan oleh Ketua Rakan Kongsi Runcit Negeri Perak, Bahagian Runcit TNB, Mohd Rohaizan Samsuddin dan Ketua Pegawai Teknologi CMSB, Lee Chee Sian.

Ketika bercakap pada majlis itu, Haziq berkata: “antara nilai teras kami dalam HARPS adalah kemampanan. Kami memberikan penekanan penting kepada bicara alam sekitar, dan kami komited untuk meminimumkan kesan operasi kami terhadap alam sekitar."

Setakat ini, GSPARX telah memperoleh 414 projek dengan organisasi komersial, perindustrian dan kerajaan, menjana kapasiti solar sebanyak 279.2 MWp.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]