Berita

Speaker Dewan Rakyat Cadang Negara Asean Jalin Kerjasama Isu Tenaga, Makanan

Tan Sri Johari Abdul

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengalu-alukan kerjasama dengan Kemboja dan negara anggota ASEAN yang lain untuk meneroka inisiatif membangunkan ekosistem tenaga boleh diperbaharui di rantau ini.

Parlimen Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan usaha itu termasuk menggalakkan perkongsian pengetahuan, pembinaan kapasiti dan bantuan teknikal; mengambil kira perkembangan negara ASEAN yang semakin membangun dan kadar permintaan terhadap keperluan sumber tenaga yang kian meningkat.

Perkara itu dibincangkan menerusi pertemuan empat mata antara beliau dengan Presiden Perhimpunan Kebangsaan Kerajaan Kemboja Heng Samrin di Phnom Penh, bersempena dengan lawatan rasmi Johari ke negara itu dari 20 hingga 24 Julai ini.

“Heng Samrin turut menyambut baik cadangan Johari agar negara anggota ASEAN menumpukan usaha untuk menjalin kerjasama strategik dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan keterjaminan makanan demi pembangunan serantau yang makmur dan dinamik,” menurut kenyataan itu di sini.

Kenyataan itu memberitahu perbincangan berkenaan juga meneroka peluang untuk meningkatkan kerjasama saintifik antara negara anggota ASEAN bagi mendepani cabaran keterjaminan makanan yang dihadapi oleh komuniti di rantau itu.

Heng Samrin juga bersependapat bahawa kerjasama antara badan perundangan Malaysia dan Kemboja perlu diperkukuh melalui kerangka Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) dan Kesatuan Antara Parlimen (IPU) melalui pertukaran pengetahuan serta perbincangan kepentingan bersama termasuk pembangunan prosedur legislatif yang berterusan.

Lawatan rasmi itu dibuat atas jemputan kerajaan Kemboja, sebagai pemerhati antarabangsa Pilihan Raya Kebangsaan yang akan diadakan di negara itu esok. 

Dalam kerangka lawatan kerja tersebut, Johari telah mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Kemboja Hun Sen untuk membincangkan sinergi kerjasama antara ASEAN dengan negara lain dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan keterjaminan bekalan makanan serantau.

Selain itu, Johari turut bertemu Menteri Kanan Tugas-Tugas Khas Kemboja bagi Hal Ehwal Islam Datuk Dr Othsman Hassan untuk membincangkan usaha memperluas gandingan kerjasama pembangunan komuniti Islam Malaysia-Kemboja.

Dalam pada itu, beliau dijadual menghadap Raja Kemboja Norodom Sihamoni dalam satu pertemuan khas di Phnom Penh pada Isnin ini.

-- BERNAMA

 

 




    Berita Lain-lain

Malakoff Bekerjasama Dengan Syarikat Dubai Tinjau Peluang Berkaitan Loji Kuasa Fotovolta Solar

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd bekerjasama dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar (Masdar) untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang berpotensi melalui pelaburan dan pembangunan projek loji tenaga fotovolta solar dengan kapasiti agregat disasarkan sehingga 1,000 Megawatt (MW).


Mou Cypark-masdar Akan Tingkatkan Agenda Tenaga Boleh Diperbaharui

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Cypark Resources Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC juga dikenali sebagai Masdar, salah satu syarikat tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia untuk memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui Malaysia.


Tangani Pelepasan Daripada Sektor Tenaga, Industri Jadi Tumpuan Malaysia Dalam Perubahan Iklim - Agong

Daripada Anas Abu Hassan

DUBAI, 1 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menangani pelepasan daripada sektor tenaga dan industri menjadi tumpuan tindakan iklim Malaysia berikutan ia menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelepasan karbon negara.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2023 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]