Berita

Malaysia Diiktiraf Negara Terbaik Di Asia Tenggara Dalam Indeks Peralihan Tenaga Wef

Credit: Economy Ministry

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Malaysia telah diiktiraf sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) baru-baru ini.

Indeks tersebut mengambil kira prestasi sistem dan kesediaan negara untuk beralih ke sumber tenaga yang lebih mesra alam.

Menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, pencapaian ini menunjukkan bahawa Malaysia berada di landasan yang tepat bagi pengurusan peralihan tenaga yang pantas, selamat dan berpatutan.

“Selain itu, Malaysia juga mempunyai pelbagai kelebihan strategik seperti lokasi yang strategik, sumber tenaga boleh baharu (TBB) yang pelbagai dan tahap kemahiran yang tinggi untuk menjadi peneraju serantau dalam bidang peralihan tenaga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, Malaysia dijangka mampu meraih peluang untuk menarik pelaburan global dalam sektor teknologi bersih yang telah mencecah RM5 trilion pada 2022.

Nilai itu dijangka terus meningkat pada tahun-tahun mendatang, katanya.

Sementara itu, pada 27 Julai, 2023, Kementerian Ekonomi akan meluncurkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa 1 semasa program Invest Malaysia KL 2023 Special Series anjuran Bursa Malaysia dengan kerjasama CLSA dan Maybank di Kuala Lumpur.

Peluncuran NETR Fasa 1 merupakan titik permulaan dalam usaha mengarusperdanakan peralihan tenaga naratif pembangunan negara.

NETR akan mengumumkan pelaksanaan 10 projek rintis perdana yang dijangka menjana pelaburan berjumlah RM25 bilion, mewujudkan 23,000 peluang pekerjaan yang berkualiti tinggi serta pengurangan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram setahun secara kumulatif.

NETR adalah tindakan tuntas susulan pembaharuan dasar semasa berkaitan TBB oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim, khususnya peningkatan sasaran baharu kapasiti terpasang TBB daripada 40 peratus pada tahun 2035 kepada 70 peratus menjelang tahun 2050.

Kementerian Ekonomi berharap NETR dapat memandu agenda strategik untuk mencipta peluang pekerjaan baharu bergaji tinggi, merancakkan penyertaan pelaburan dalam dan luar negara, menjamin kelangsungan bekalan tenaga negara, dan menjadikan Malaysia peneraju serantau dalam industri tenaga bersih bagi jangka masa panjang.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Malakoff Bekerjasama Dengan Syarikat Dubai Tinjau Peluang Berkaitan Loji Kuasa Fotovolta Solar

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd bekerjasama dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar (Masdar) untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang berpotensi melalui pelaburan dan pembangunan projek loji tenaga fotovolta solar dengan kapasiti agregat disasarkan sehingga 1,000 Megawatt (MW).


Mou Cypark-masdar Akan Tingkatkan Agenda Tenaga Boleh Diperbaharui

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Cypark Resources Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC juga dikenali sebagai Masdar, salah satu syarikat tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia untuk memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui Malaysia.


Tangani Pelepasan Daripada Sektor Tenaga, Industri Jadi Tumpuan Malaysia Dalam Perubahan Iklim - Agong

Daripada Anas Abu Hassan

DUBAI, 1 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menangani pelepasan daripada sektor tenaga dan industri menjadi tumpuan tindakan iklim Malaysia berikutan ia menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelepasan karbon negara.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2023 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]