Berita

Ipt Diseru Pelopori Idea Dan Inisiatif Baharu Penjanaan Tenaga

Pix credit: Nik Nazmi Nik Ahmad FB

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Semua kampus pengajian di negara ini diseru untuk turut sama mempelopori idea dan inisiatif baharu penjanaan tenaga, demi membentuk masyarakat peka tenaga dalam usaha menjaga kelestarian industri tenaga dan alam sekitar di negara ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata inisiatif berkenaan yang telah dilaksanakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang berjaya mengurangkan kos utiliti tahunan daripada RM18 juta pada 2014 kepada RM12 juta pada 2022.

"Kami dimaklumkan, USM telah membangunkan Projek Inisiatif Penjimatan Tenaga sejak 2013 lagi dan ia merupakan salah satu usaha menjayakan konsep ‘kampus lestari’ melalui pembangunan infrastruktur penjanaan tenaga boleh baharu dalam kampus.

"Projek yang dilaksanakan melalui pemasangan sistem solar fotovoltaik di kampus tersebut itu kini dianggarkan mewakili lebih 30 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan tenaga di kampus USM, Pulau Pinang iaitu bersamaan dengan kira-kira 10 MWp," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Nazmi berkata selain menjimatkan, usaha menambah baik ekosistem penjanaan tenaga di kampus itu juga turut membantu dalam mengurangkan kadar pencemaran karbon dioksida (CO2) terhadap alam sekitar.

Beliau bersama delegasi kementerian serta Suruhanjaya Tenaga sebelum itu membuat lawatan kerja ke kampus induk USM, Pulau Pinang bagi meninjau perkembangan projek inisiatif-inisiatif penjimatan tenaga di kampus tersebut.

"NRECC menyambut baik cerita-cerita kejayaan (success stories) berkenaan dasar-dasar cekap dan peralihan tenaga, terutamanya di institusi-institusi pengajian tinggi yang merupakan pusat perkongsian ilmu di tahap tertinggi dalam kalangan masyarakat setempat.

"Selaku ketua delegasi NRECC, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga USM, khususnya pihak pengurusan tertinggi Universiti atas kesedaran dan iltizam USM dalam merealisasikan agenda kelestarian di kampusnya," katanya.

-- BERNAMA


 

 





    Berita Lain-lain

Malakoff Bekerjasama Dengan Syarikat Dubai Tinjau Peluang Berkaitan Loji Kuasa Fotovolta Solar

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd bekerjasama dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar (Masdar) untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang berpotensi melalui pelaburan dan pembangunan projek loji tenaga fotovolta solar dengan kapasiti agregat disasarkan sehingga 1,000 Megawatt (MW).


Mou Cypark-masdar Akan Tingkatkan Agenda Tenaga Boleh Diperbaharui

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Cypark Resources Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC juga dikenali sebagai Masdar, salah satu syarikat tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia untuk memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui Malaysia.


Tangani Pelepasan Daripada Sektor Tenaga, Industri Jadi Tumpuan Malaysia Dalam Perubahan Iklim - Agong

Daripada Anas Abu Hassan

DUBAI, 1 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menangani pelepasan daripada sektor tenaga dan industri menjadi tumpuan tindakan iklim Malaysia berikutan ia menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelepasan karbon negara.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2023 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]