Berita

Schneider Electric Lancar Catalyze, Percepat Akses Kepada Tenaga Boleh Baharu



KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Schneider Electric, peneraju transformasi digital bagi pengurusan tenaga dan automasi, melancarkan Catalyze, sebuah program perkongsian baharu yang menyasar untuk mempercepat akses kepada tenaga boleh baharu di seluruh rantaian nilai semikonduktor global.

Ketua Pegawai Eksekutif, Peter Herwec berkata pihaknya mahu memperkasakan syarikat supaya dapat memanfaatkan sepenuhnya tenaga dan sumber Schneider Electric, sekali gus membawa kemajuan dan kemampanan bersama untuk setiap orang.

“Misi kami adalah menjadi rakan kongsi digital untuk kemampanan dan kecekapan, dan program perkongsian Catalyze ialah contoh terbaik cara syarikat dalam industri global utama boleh bekerjasama untuk mempercepat penyahkarbonan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Schneider Electric menjelaskan Catalyze yang diperkenalkan semasa SEMICON West 2023 adalah program kerjasama pertama seumpamanya dalam kalangan peneraju industri semikonduktor dan teknologi utama untuk menangani pelepasan rantaian bekalan dalam industri mereka.

“Program ini menyertai inisiatif perkongsian rantaian bekalan Schneider Electric lain yang berusaha untuk memanfaatkan kuasa kohort rantaian bekalan termasuk program Energize bagi industri farmaseutikal dan program Gigaton PPA oleh Walmart.

"Intel, antara syarikat reka bentuk dan pembuatan semikonduktor terkemuka dunia, dan Applied Materials Inc, syarikat semikonduktor dan peralatan paparan terbesar dunia, adalah penaja korporat sulung bagi program Catalyze,” tambah Schneider Electric.

Schneider Electric memaklumkan bersama-sama pihaknya, syarikat itu akan mengalakkan pembekal daripada seluruh ekosistem industri semikonduktor menyertai program Catalyze dan membantu mempercepat peralihan rantaian nilai kepada tenaga boleh baharu dan masa depan rendah karbon.

Memandangkan permintaan global terhadap semikonduktor dalam produk pengguna dan komersial meningkat, jejak karbon terus berkembang, adalah penting untuk peneraju industri semikonduktor bekerjasama memacu penggunaan tenaga boleh baharu yang lebih tinggi dan mencapai laluan lebih mampan untuk pertumbuhan, menurut syarikat itu.

“Matlamat bersama peserta Catalyze adalah untuk menggalakkan beribu-ribu pembekal industri supaya mengambil tindakan iklim yang berani melalui penyahkarbonan.

“Ini merupakan tugas yang mencabar berikutan kekompleksan rantaian nilai, ketersediaan dan kebolehpercayaan data serta kesukaran dalam menentukan sempadan pelepasan tersebut,” tambahnya.

Schneider Electric menjelaskan pada peringkat awal, program itu akan menumpukan pembekal dengan beban tenaga dalam pasaran tertentu pada rantaian nilai semikonduktor dengan tenaga boleh baharu tersedia pada masa ini, dengan hasrat untuk berkembang secara global apabila kepentingan khusus dan peluang pasaran tenaga boleh baharu sejajar.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Malakoff Bekerjasama Dengan Syarikat Dubai Tinjau Peluang Berkaitan Loji Kuasa Fotovolta Solar

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd bekerjasama dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar (Masdar) untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang berpotensi melalui pelaburan dan pembangunan projek loji tenaga fotovolta solar dengan kapasiti agregat disasarkan sehingga 1,000 Megawatt (MW).


Mou Cypark-masdar Akan Tingkatkan Agenda Tenaga Boleh Diperbaharui

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Cypark Resources Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC juga dikenali sebagai Masdar, salah satu syarikat tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia untuk memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui Malaysia.


Tangani Pelepasan Daripada Sektor Tenaga, Industri Jadi Tumpuan Malaysia Dalam Perubahan Iklim - Agong

Daripada Anas Abu Hassan

DUBAI, 1 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menangani pelepasan daripada sektor tenaga dan industri menjadi tumpuan tindakan iklim Malaysia berikutan ia menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelepasan karbon negara.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2023 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]