Pix credit: FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang dalam tindakan merangka Dasar Anti Ali Baba (rent-seeking) dan mempercepat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).
Perdana Menteri berkata perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diadakan semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata budaya Ali Baba memberi dampak negatif kepada ekonomi dan kerajaan serius untuk menangani dan membasmi aktiviti ini.
"Anggaran kerugian mencecah sekitar satu peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota serta pemberian subsidi dan geran.
"Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan kementerian dan agensi kerajaan akan mengkaji dan merangka dasar dan strategi perundangan yang bersesuaian untuk membanteras aktiviti rent-seeking dan membentangkan cadangan kepada Jemaah Menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Anwar berkata mesyuarat MTEN turut bersetuju untuk mempercepat inisiatif NETR sebagai pemangkin kepada strategi mengangkat negara sebagai peneraju serantau dalam tenaga boleh baharu.
Beliau berkata Projek Flagship Rintis dan inisiatif NETR bagi meningkatkan penyertaan industri mengenai hala tuju baharu kerajaan dalam meneroka sumber tenaga baharu dan membentuk permintaan pasaran serta mengenal pasti sumber kewangan untuk menangani jurang pembiayaan bagi projek tersebut.
Anwar berkata Fasa Pertama NETR akan mengetengahkan 10 projek rintis perdana yang strategik dan bernilai tinggi sebagai langkah pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion.
Selain itu, menurutnya fasa berkenaan turut merangkumi mewujudkan 23,000 pekerjaan berkualiti tinggi dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram secara bertimbunan.
"Peluncuran NETR Fasa Pertama akan diadakan pada 27 Julai 2023 dan disusuli dengan peluncuran NETR Fasa Kedua pada Ogos 2023," kata perdana menteri.
Melangkah ke hadapan, Anwar berkata MTEN akan terus merumuskan langkah dan inisiatif baharu untuk menangani pelbagai tantangan melibatkan perekonomian negara bagi memastikan penambahbaikan tata kelola serta perubahan struktur secara teratur demi meningkatkan potensi ekonomi negara.
"Kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara mencapai Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 dan sentiasa bergerak maju ke hadapan seiring dengan kemajuan teknologi semasa dan memenuhi keperluan sosioekonomi rakyat bagi menjamin kesejahteraan Malaysia dan rakyatnya," katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]