Berita

Inisiatif Tnb Di Uk Akan Percepatkan Peralihan Tenaga Bertanggungjawab Malaysia



KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Penerokaan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam perniagaan tenaga boleh baharu (TBB) di Eropah melalui anak syarikat milik penuhnya di United Kingdom (UK), Vantage RE Ltd akan membolehkan Malaysia menggarap pengetahuan berharga untuk mempercepatkan Peralihan Tenaga (ET) bertanggungjawab negara.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata penting bagi Malaysia untuk berjaya mengemudi peralihan tenaga ini, selain mengimbangi isu-isu seperti keterjaminan tenaga, ekuiti tenaga dan kelestarian alam sekitar. 

“Dengan berbuat demikian, Malaysia kekal berdaya tahan dari segi ekonomi dan pada masa sama, memanfaatkan peluang untuk pertumbuhan mampan.

“Peralihan itu juga akan memberi manfaat kepada negara melalui pemindahan teknologi dan peningkatan kecekapan modal insan,” katanya. 

Nik Nazmi, yang berada di London baru-baru ini untuk lawatan kerja ke Vantage RE, memuji TNB atas pencapaian luar biasa dalam menerajui ET Malaysia, mengurangkan jejak karbonnya dan mengembangkan TBB di Malaysia dan di luar negara.

Turut hadir dalam lawatan ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) kementerian Datuk Mohamad Razif Abd Mubin; Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Mohammed Rashdan Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Razib Dawood; Kaunselor (Multilateral), Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, Siti A’liah Mansor; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din dan Ketua Pegawai Tenaga Baharu TNB, Zarihi Hashim.

 

Perniagaan TBB antarabangsa penting untuk TNB 

Bagi perniagaan TBB TNB di UK, pengetahuan dan kepakaran yang akan dimanfaatkan adalah tidak ternilai untuk TNB dan Malaysia, kata Nik Nazmi, sambil menambah kerajaan kini sedang meneroka pasaran import dan eksport tenaga serta berhasrat agar Malaysia memainkan peranan penting dalam Grid Tenaga ASEAN.

“Saya yakin bahawa pengalaman UK menjadi panduan penting untuk Malaysia dalam usaha kita meneruskan visi ini,” katanya.

Seperti yang dipersetujui, Baharin berkata Vantage RE ialah komponen penting dalam perjalanan Peralihan Tenaga Bertanggungjawab TNB dan pengalaman besar yang diperoleh di UK, telah meletakkan TNB dalam kedudukan yang unik untuk memanfaatkan lebih banyak peluang.

“Perniagaan TBB antarabangsa adalah salah satu bidang keutamaan untuk TNB berkembang maju dalam jangka panjang. Selaras dengan aspirasi kami sebagai pembekal utama tenaga lestari di Malaysia dan antarabangsa, kami akan terus membuat pelaburan besar dalam bidang ini.

“Usaha seberang laut ini akan mempercepatkan pertumbuhan TBB dan membina keupayaan TNB di pasaran asing, membolehkan kami lebih memahami bagaimana Malaysia boleh mewujudkan rangka kerja yang betul, yang memberi insentif kepada penggunaan teknologi utama seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), hidrogen serta Perangkap Karbon, Penggunaan dan Penyimpanan (CCUS) yang akan menyokong Peralihan Tenaga,” katanya.

Vantage RE yang beribu pejabat di London telah ditubuhkan pada 2021 untuk memiliki, mengendalikan, membangun dan mengurus portfolio aset RE di UK dan Eropah sebagai sebahagian daripada komitmen global TNB terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

TNB kini mempunyai lebih daripada 630 Megawatt (MW) aset TBB yang terdiri daripada projek tenaga suria, angin darat dan luar pesisir merentasi UK.

Dalam lawatannya, Nik Nazmi merasmikan ibu pejabat baharu Vantage RE di 20 Eastbourne Terrace dan melawat ladang angin luar pesisir Vantage RE di luar pesisir pantai Blyth, Pantai Timur Laut England. 

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]