KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) dan Gentari Sdn Bhd (Gentari) bekerjasama untuk memacu usaha nyahkarbon dalam sektor penjagaan kesihatan dan memacu KPJ Healthcare ke arah penyahkarbonan dan pertumbuhan mampan.
Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini, KPJ Healthcare mengintegrasikan mobiliti hijau dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui ke dalam operasi KPJ Healthcare, meletakkan Kumpulan di barisan hadapan dalam mendorong impak positif terhadap alam sekitar melalui penyelesaian tenaga bersih.
Salah satu bidang utama yang digariskan dalam MoU tersebut ialah pemasangan fasiliti Pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) di 10 buah fasiliti KPJ Healthcare,
Stesen pengecasan tersebut akan disediakan kepada orang ramai mengikut pembayaran berasaskan penggunaan dalam menyokong infrastruktur EV di Malaysia yang semakin berkembang dan menggalakkan penggunaan EV dalam kalangan kakitangan, pesakit dan pelawat, kata KPJ Healthcare dan Gentari dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Kerjasama berkenaan seiring dengan sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia, iaitu menyasarkan mewujudkan sebanyak 10,000 pusat pengecasan menjelang tahun 2025 dan mempunyai 1.3 juta kenderaan EV di jalan raya menjelang 2040.
Dengan pemasangan stesen pengecas EV di hospital dan fasiliti KPJ Healthcare, kerjasama itu bertujuan untuk menyumbang kepada sasaran nasional, mengurangkan pelepasan karbon, dan menggalakkan pengangkutan yang mampan dalam sektor penjagaan kesihatan.
Selain mobiliti hijau, kerjasama tersebut juga akan melibatkan pemasangan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui di fasiliti KPJ Healthcare.
Ia termasuk penerokaan perancangan untuk penggunaan tenaga solar dan teknologi tenaga bersih yang lain untuk memanfaatkan sumber boleh diperbaharui dan menjana elektrik sekali gus mengurangkan pergantungan kumpulan itu pada bahan api fosil dan mengurangkan kesan karbon secara keseluruhannya
Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare, Norhaizam Mohammad berkata melalui rangkaian 29 buah hospital pakar KPJ Healthcare dan gabungan kepakaran serta sumber, kumpulan itu percaya ia akan dapat menetapkan piawaian industri baharu, mewujudkan amalan terbaik dan memacu perubahan positif dalam sektor penjagaan kesihatan.
“Program kemampanan sedia ada kami telah meletakkan asas yang kukuh namun kami memahami keperluan untuk mempercepatkan usaha kami. Kerjasama ini selaras dengan komitmen kami untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi sambil mengutamakan penjagaan alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari, Shah Yang Razalli berkata Gentari menyedari bahawa penggunaan tenaga yang ketara dalam industri penjagaan kesihatan mesti disokong oleh amalan mampan.
“Menerusi penyepaduan penyelesaian tenaga bersih, kami berhasrat untuk membantu KPJ Healthcare dalam mengurangkan jejak karbon dan menyumbang ke arah mencapai matlamat kemampanannya,” katanya.
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd bekerjasama dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar (Masdar) untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang berpotensi melalui pelaburan dan pembangunan projek loji tenaga fotovolta solar dengan kapasiti agregat disasarkan sehingga 1,000 Megawatt (MW).
KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Cypark Resources Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC juga dikenali sebagai Masdar, salah satu syarikat tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia untuk memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui Malaysia.
Daripada Anas Abu Hassan
DUBAI, 1 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menangani pelepasan daripada sektor tenaga dan industri menjadi tumpuan tindakan iklim Malaysia berikutan ia menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelepasan karbon negara.
© 2023 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]