(File pict)
LAHAD DATU, 7 Julai (Bernama) -- Beberapa inisiatif untuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilihat bakal merubah kehidupan peneroka di kawasan Felda Sahabat di Tunku, Lahad Datu dan Felda Umas di Tawau, dekat sini terutamanya dari segi masa depan generasi peneroka seterusnya.
Peneroka Felda Sahabat 3, Junaidi Apdal berkata subsidi diesel berjumlah RM36 juta setahun ditampung Kerajaan Persekutuan bagi operasi penjanaan tenaga dan rawatan air mampu menoktahkan isu bekalan air serta elektrik di kawasan itu, yang memberi sinar buat 43,000 peneroka yang memperoleh manfaatnya.
“Felda ini kerap berlaku ketiadaan elektrik begitu juga bekalan air, bekalan elektrik tidak stabil, bekalan air kurang, jadi diharap masalah ini selesai dengan pengumuman subsidi diesel untuk operasi ini. Kita harap semua pengumuman itu mampu memberi sinar kehidupan lebih selesa untuk kami," katanya kepada Bernama.
Junaidi, 51, berkata pengumuman pelbagai inisiatif itu ditambah dengan kepimpinan baharu Felda dipengerusikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, peneroka di sini yakin Felda akan lebih maju seterusnya semua projek dirancang dapat dipercepatkan sekali gus memberikan kehidupan baharu buat peneroka.
Felda Sahabat yang terletak di Tungku, Lahad Datu terdiri daripada Felda Sahabat 1, Felda Sahabat 2, Felda Sahabat 3, Felda Sahabat 4 dan 5, sementara Felda Umas di Tawau terdiri daripada Felda Umas 1, Felda Umas 2 dan 3, dan Felda Umas 4. Felda Sahabat dan Felda Umas yang membentuk Felda Wilayah Sahabat terletak di pantai timur Sabah.
Mohd Iqmal Rahman, 38, seorang anak peneroka Felda Umas 4 berkata ketiadaan bekalan elektrik dan air yang kadang kala berlaku serentak merencatkan urusan hidup seharian.
“Justeru dengan subsidi diesel itu tiada lagi keperluan untuk membuat catuan bekalan yang juga boleh merosakkan peralatan rumah,” katanya.
Anwar hari ini dilaporkan berkata Felda telah membelanjakan hampir RM128 juta bagi penjanaan tenaga serta rawatan dan pembekalan air bersih di dua kawasan tanah rancangan Felda itu, sehubungan itu mengumumkan peruntukan RM36 juta setahun bagi operasi tersebut.
Peneroka Felda Sahabat 4 dan 5, Datu Ibrahim Datu Abd Karim berkata usaha membina 12 buah pusat hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta mampu memberi manfaat kepada peneroka Felda yang rata-rata sudah berumur dan memerlukan kemudahan kesihatan lebih baik.
Sehubungan itu, Datu Ibrahim, 59, berkata peneroka Felda Wilayah Sahabat di sini berharap dapat menjadi antara menjadi salah satu penerima pusat hemodialisis itu yang menurutnya amat diperlukan peneroka kerana kawasan Felda itu berada amat jauh dari fasiliti kesihatan yang lengkap.
“Rata-rata semua inisiatif diumumkan itu bersifat inklusif mampu beri manfaat buat semua, seperti RM7.7 juta setahun untuk kos operasi jalan bagi ‘menerangkan’ kawasan kami, sudah tentu ini akan membantu dalam meningkatkan tahap keselamatan dan mengurangkan kemalangan di kawasan ini,” katanya.
Peneroka Felda Umas 2 dan 3, Bakiri Saping berkata pemansuhan 80 peratus hutang peneroka Felda sudah tentu memberi kelegaan yang amat besar buat peneroka, justeru beliau berharap inisiatif itu dapat direalisasi dengan sebaiknya dan memberikan kesan yang positif buat peneroka.
“Hapus hutang bukan perkara baharu dan peneroka memang kecewa apabila beberapa kali sebelum ini ada pengumuman dibuat tetapi penghapusan itu tidak dilaksana dengan baik sampai peneroka masih terbeban kerana hutang. Tetapi kerajaan masa ini ada kelainan dan kita harap beri kesan positif,” katanya.
Bakiri, 54, berkata mekanisme penghapusan hutang itu perlu memastikan peneroka mampu meneruskan “perjuangan” mereka di tanah rancangan Felda dengan memberi ruang mereka berkembang maju, antaranya dapat melabur untuk teknologi pertanian baharu tanpa terbeban dengan masalah membayar kembali pinjaman.
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd bekerjasama dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar (Masdar) untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang berpotensi melalui pelaburan dan pembangunan projek loji tenaga fotovolta solar dengan kapasiti agregat disasarkan sehingga 1,000 Megawatt (MW).
KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Cypark Resources Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC juga dikenali sebagai Masdar, salah satu syarikat tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia untuk memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui Malaysia.
Daripada Anas Abu Hassan
DUBAI, 1 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menangani pelepasan daripada sektor tenaga dan industri menjadi tumpuan tindakan iklim Malaysia berikutan ia menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelepasan karbon negara.
© 2023 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]