Berita

Pelaksanaan Subsidi Bersasar Dorong Pengguna Beralih Kepada Tenaga Suria



Gelombang haba yang melanda negara ketika ini menyebabkan ramai yang terpaksa membayar bil elektrik lebih tinggi daripada biasa dek penggunaan penyaman udara dan kipas angin secara berpanjangan di kediaman mereka.

Namun bagi Peter Wong yang sebelum ini perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM280 sebulan untuk bil elektrik, dia tidak perlu lagi runsing akan hal itu selepas beralih kepada tenaga suria tahun lepas. 

“Rumah saya ada tiga unit penyaman udara, jadi ketika cuaca panas, terutama semasa gelombang haba sekarang dan juga PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dulu, kesemua alat itu dihidupkan dari lewat petang hingga malam. Lebih-lebih lagi di rumah saya ada warga emas.

“Namun dengan penggunaan tenaga suria, bil elektrik bukan lagi satu isu,” kongsi pengurus stesen minyak itu kepada Bernama menerusi telefon.

 Menurut Wong yang menetap di Georgetown, Pulau Pinang, dia memutuskan untuk memasang panel suria itu dengan kos RM20,000, selepas bil elektriknya mencanak semasa PKP.

“Saya beli 10 keping panel dengan kapasiti penjanaan tenaga 4.7 kilowatt sejam (kWj) tahun lepas yang dipasang di atas bumbung rumah teres dua tingkat saya,” katanya, menambah walaupun perlu berbelanja besar pada peringkat awal, dia gembira kerana perbelanjaan bulanan untuk bil elektrik berkurangan.

pic-2 

Menurutnya lagi, sekalipun terikat membayar kos pemasangan panel terbabit secara ansuran selama tiga tahun, dia akan menikmati bil elektrik percuma selepas itu.    

“Saya amat bersyukur kerana telah beralih kepada tenaga boleh baharu (TBB), lebih-lebih lagi selepas kerajaan umumkan tiada lagi subsidi bagi mereka yang mempunyai bil elektrik bulanan melebihi RM708,  bermula bulan ini,” ujar Wong.

Bermula 1 Julai lalu, pengguna domestik di Semenanjung Malaysia yang menggunakan elektrik sebanyak 1,500 kWj ke atas, perlu membayar bil pada kadar tanpa subsidi susulan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh Julai-Disember di bawah mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT). 

Bercerita lanjut, Wong berkata dia juga boleh “menjual” lebihan tenaga yang dijana oleh kediamannya kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi program Peningkatan Meter Tenaga Bersih (NEM).

Di bawah inisiatif itu,  pengguna TBB mengikat kontrak 10 tahun dengan TNB bagi menyalurkan lebihan tenaga elektrik yang dijana oleh panel suria mereka ke sistem grid nasional - jaringan talian penghantar elektrik negara.

“Jika tidak ada orang di rumah, tenaga elektrik daripada panel suria saya akan disalurkan ke sistem grid. TNB ‘beli’ dan jumlah yang kita ‘jual’ akan ditunjukkan dalam bil elektrik,” jelas Wong, menambah di bawah inisiatif itu, pengguna kini menjadi “prosumer” - pengeluar dan pengguna tenaga.

Bagaimanapun katanya, pemasangan panel suria itu tidak ideal bagi kediaman yang mempunyai bil elektrik kurang daripada RM200 sebulan.

 

PACU AGENDA TBB  

Program NEM membolehkan lebihan tenaga yang dijana oleh fotovolta suria (PV) dieksport ke sistem grid berdasarkan konsep timbal balas “satu dengan satu” di bawah tiga kategori, iaitu NEM Rakyat (pengguna domestik), NEM Gomen (bangunan kerajaan) dan NEM NOVA (perindustrian dan pertanian).   

Menurut Pihak Berkuasa Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, setakat ini, sejumlah 84.5130 megawatt (MW) daripada kuota 150 MW di bawah NEM Rakyat telah diagihkan. Sementara di bawah NEM Gomen pula, sebanyak 32.6740 MW diluluskan daripada 100 MW, dan daripada 800 MW yang diperuntukkan di bawah NEM NOVA, sejumlah 535.0091 MW telah diagihkan.

Dalam pada itu, dilaporkan kira-kira 83,000 pengguna akan terkesan oleh kenaikan tarif di bawah pelarasan tarif baharu elektrik yang berkuat kuasa Julai hingga Disember ini, dengan masing-masing dianggar membayar tambahan sekurang-kurangnya RM187 sebulan. 

Susulan itu juga, berlaku peningkatan agihan kuota di bawah NEM, yang menurut pakar dan pemain industri, berpotensi memacu inisiatif kerajaan dalam menggalakkan penggunaan TBB di Malaysia, terutama sektor tenaga suria.

pic-3

Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Norasikin Ahmad Ludin ketika diminta mengulas, berkata antara sumber TBB yang ada, tenaga suria menawarkan potensi terbesar di Malaysia disebabkan negara ini menerima cahaya matahari sekurang-kurangnya empat jam sehari.

Ini katanya membolehkan penjanaan elektrik sepanjang tahun di seluruh negara.

“Pastinya penggunaan tenaga suria berpotensi mengurangkan kos elektrik kerana pengguna menggunakan tenaga elektrik yang dijana sendiri.

“Akan tetapi, mustahil untuk mengetepikan sepenuhnya bil elektrik melainkan penggunaan elektrik seseorang itu adalah minimum, kerana kapasiti maksimum yang dibenarkan di bawah NEM untuk pengguna domestik ialah hingga 72 kWj bagi tiga fasa.

“Oleh itu, amnya sistem ini boleh menampung sekurang-kurangnya satu pertiga daripada penggunaan elektrik sesebuah rumah,” katanya menerusi e-mel kepada Bernama. 

pic-6

 

KURANGKAN PELEPASAN KARBON

Sementara itu, perunding tenaga Evan Ng Chee Yang berkata selain merealisasikan inisiatif TBB kerajaan, pemasangan panel suria di atas bumbung juga membawa kesan positif ke atas persekitaran.

Peningkatan pemasangan panel suria di atas bumbung yang secara relatifnya masih rendah di Malaysia buat masa ini, akan mengurangkan pergantungan pada penjanaan tenaga termal yang melepaskan karbon ke atmosfera, katanya.

 “Ini akan menurunkan keamatan pelepasan grid di Malaysia, sekali gus menghantar isyarat pasaran tentang keperluan pelaburan dalam pembangunan aset termal baharu,” kata Ng yang berpangkalan di London. 

Beliau yang bersetuju inisiatif itu akan menjadi permulaan kepada peralihan tenaga di Malaysia, berkata PV suria berkapasiti tinggi di atas bumbung juga bermakna hanya loji TBB berkapasiti kecil sahaja diperlukan bagi mencapai sasaran kapasiti TBB negara. 

pic-4

Kerajaan menyasarkan TBB merangkumi 31 peratus atau 13 gigawatt daripada keperluan tenaga negara menjelang 2025 dan 40 peratus (18 gigawatt) menjelang 2035, selain komited untuk meningkatkan kapasiti TBB kepada 70 peratus pada 2050 di bawah Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER) 2022-2035.

Bagi mencapai matlamat iklim yang ditetapkan dalam Perjanjian Paris, penguasaan pasaran global TBB perlu ditingkatkan daripada tiga peratus sekarang kepada 31 peratus menjelang 2050, dan penggunaan tenaga daripada bahan api fosil dikurangkan kepada 33 peratus berbanding 80 peratus sekarang.

 Malaysia yang pada masa ini mempunyai kapasiti tenaga suria dipasang keseluruhan berjumlah 2,165 MW, menyasarkan untuk menambah 1,098 MW lagi menjelang 2025 dan tambahan 2,414 MW pada 2035,  demikian menurut data Apricum, firma perunding berpangkalan di Berlin. 

Ng berkata peningkatan penembusan TBB seperti pemasangan panel suria di kediaman juga membantu mengurangkan keperluan terhadap pengukuhan berskala besar jaringan tenaga bagi mengangkut TBB dari tapak terpencil ke pengguna akhir, sekali gus membolehkan peralihan kepada tenaga lestari yang lebih jimat kos dan sumber pada masa akan datang.

“Justeru, amat penting bagi pihak berkuasa menyebar luas faedah yang ditawarkan oleh TBB kepada persekitaran dan keseluruhan sistem tenaga agar pengguna boleh menimbang faktor-faktor ini dan menyumbang kepada inisiatif itu dengan menerima guna panel suria bumbung,” katanya.

 

PERMINTAAN TINGGI UNTUK PANEL SURIA 

Pemain industri percaya peningkatan permintaan terhadap pemasangan panel suria yang didorong oleh kebimbangan pengguna akan kenaikan bil elektrik, akan memacu peralihan kepada TBB dan mengurangkan kos pemasangan.

Pengasas bersama yang juga Ketua Pegawai Operasi Progressture Solar, Ng Yew Meng berkata syarikatnya mencatatkan peningkatan jualan sejak pengumuman pelarasan tarif elektrik menurut mekanisme ICPT terbaharu itu.

“Untuk tahun ini setakat ini, kami telah memperoleh projek membabitkan 18 MWj, merangkumi bangunan kediaman, komersial dan industri. Malah, kami terus menerima permintaan sejak peningkatan tarif diumumkan,” katanya, memaklumkan untuk minggu terakhir Jun sahaja syarikatnya menerima lebih 60 pertanyaan.

Menurut beliau, kos lazim bagi pemasangan panel suria di sesebuah kediaman adalah sekitar RM14,000 hingga RM46,000, bergantung pada jenis rumah dan saiz bumbung. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) Shamsul Bahar Mohd Nor berkata disebabkan oleh peningkatan permintaan terhadap produk tenaga suria yang dikategorikan sebagai produk hijau, syarikat digalakkan mendaftar dengan pensijilan MyHIJAU.

pic-5

“Produk dan perkhidmatan hijau yang berdaftar akan disenaraikan dalam direktori MyHIJAU yang merupakan sumber rujukan bagi pemerolehan hijau, termasuk sebarang pemerolehan di bawah insentif hijau dan inisiatif teknologi hijau.

“MyHIJAU ini adalah jaminan kepada pengguna bahawa produk yang mereka mahu beli itu mempunyai impak alam sekitar yang rendah berbanding produk serupa di pasaran.

“Menerusi pembelian produk bertanda MyHIJAU, mereka sebenarnya turut menzahirkan komitmen terhadap alam sekitar kerana semua produk yang tersenarai perlu mematuhi ciri-ciri yang ketat sebelum diberikan pengiktirafan,” katanya ketika ditemui Bernama di Persidangan Energy Asia 2023, baru-baru ini. 

Beliau percaya permintaan tinggi terhadap pemasangan panel suria akan menurunkan harga pasaran semasa, sekali gus mengurangkan kos pengguna yang berhasrat beralih kepada TBB.

 

INSENTIF BAGI PENGGUNA DOMESTIK

Sementara itu, Norasikin berkata bagi menggalakkan lebih ramai menggunakan tenaga suria, kerajaan wajar menawarkan insentif dalam bentuk rebat atau geran bagi pemasangan panel suria, terutama untuk pengguna domestik.

“Geran pendahuluan atau rebat tunai bagi pemasangan panel empat kWj yang pertama untuk kediaman sesuai sebagai ganti subsidi. Tawarkan insentif ini untuk satu tempoh atau sehingga sasaran tercapai. 

“Pinjaman yang disubsidikan seperti pinjaman dengan kadar faedah rendah atau sifar faedah juga satu langkah yang bagus. Bayaran balik pinjaman boleh dibuat menerusi taksiran cukai,” saran beliau yang turut melihat insentif cukai sebagai satu lagi syor yang boleh ditimbang oleh kerajaan.

 





    Berita Lain-lain

Malaysia Sedia Jalin Kerjasama Rapat Dengan Arab Saudi Dalam Bidang Tenaga Diperbaharui

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Malaysia sedia menjalin kerjasama rapat dengan Arab Saudi bagi meneroka potensi usaha sama serta bertukar-tukar ilmu dan pengalaman dalam bidang tenaga diperbaharui  selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).


Malaysia Libatkan Diri Secara Aktif Dengan Negara Asean Kukuhkan Ketersambungan Tenaga - Fadillah

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Malaysia terlibat secara aktif dengan negara-negara ASEAN lain untuk memacu inisiatif serantau seperti Grid Kuasa ASEAN, yang bertujuan memperkukuh ketersambungan dan keselamatan tenaga elektrik di seluruh rantau ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


Storan Tenaga Penting Dalam Majukan Agenda Tenaga Boleh Diperbaharui Malaysia - Schneider Electric

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Storan tenaga memainkan peranan penting dalam memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui Malaysia kata Naib Presiden Kanan Secure Power Division Schneider Electric Natalya Makarochkina.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]