Berita

Energy Asia Beri Wacana Baharu Tentang Realiti Baharu Peralihan Tenaga

From left: Senior Vice President and Chief Energy Strategist at S&P Global Commodity Insights, Atul Arya; President & Group CEO PETRONAS and Chairman of Energy Asia, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik and Vice Chairman of S&P Global Dr. Daniel Yergin, at the closing ceremony of Energy Asia 2023. Energy Asia 2023 came to a close after three engaging days of discussions and conversations; best practice across the energy ecosystem, and actionable solutions for charting pathways for a sustainable Asia.

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Persidangan Energy Asia yang julung kali diadakan yang berakhir baru-baru ini telah memberikan wacana baharu mengenai realiti baharu peralihan tenaga untuk menuju ke arah masa depan sifar bersih yang adil dan bertanggungjawab.

Pengerusi Energy Asia 2023 Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz menekankan kepentingan kerjasama antara sektor awam dan swasta serta inovasi untuk memacu penyelesaian yang boleh diambil tindakan yang akan membawa kepada peralihan tenaga yang adil dan bertanggungjawab di rantau ini.

“Dalam kita menempuh cabaran untuk mencapai masa depan sifar bersih, terdapat langkah-langkah realistik yang boleh diambil. Bagaimanapun, ini memerlukan usaha ‘all-in’ untuk membolehkan kita bergerak dengan lebih cepat ke arah hala tuju yang betul.

“Kerajaan di rantau ini perlu menyediakan dasar yang menyokong dan wajar, tetapi kami juga memerlukan institusi pelbagai hala, bank pembangunan dan pelabur swasta untuk menyumbang kepada usaha ini,” katanya dalam kenyataan.

Tengku Muhammad Taufik, yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas berkata persidangan itu mewujudkan keperluan mendesak untuk membuka pembiayaan yang amat diperlukan untuk menyahkarbon ekonomi sedang pesat membangun.

Dengan peluang yang banyak ditawarkan oleh Asia sebagai pasaran tenaga utama dan pemacu pertumbuhan global, memacu peralihan tenaga di rantau ini dengan adil dan bertanggungjawab secara bersama-sama boleh menjadi contoh kepada kerjasama serantau yang inklusif.

“Sejajar dengan matlamat kami, Petronas berhasrat untuk menjadi rakan kongsi progresif dalam menyediakan laluan yang realistik, pragmatik dan praktikal,” katanya.

Di persidangan Energy Asia, Petronas memeterai 11 perjanjian kerjasama dengan pelbagai rakan kongsi.

Ini termasuk pelancaran Program Kepimpinan Metana Sektor Tenaga ASEAN (MLP) bersama-sama dengan pengendali sektor tenaga, agensi kerajaan dan organisasi antarabangsa untuk mengurus pelepasan metana di rantau ini.

Petronas turut menandatangani perjanjian pembangunan dengan TotalEnergies Carbon Neutrality Ventures dan Mitsui untuk bekerjasama dalam projek penangkapan karbon di Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Asia telah memulakan perjalanan transformatif untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan pada masa yang sama mengimbangi baki pelepasan.

Bagi mencapai matlamat iklim Perjanjian Paris, bahagian tenaga global daripada tenaga boleh baharu perlu meningkat daripada tiga peratus pada masa ini kepada 31 peratus menjelang 2050 dan mengurangkan penggunaan tenaga daripada bahan api fosil daripada 80 peratus pada masa ini kepada 33 peratus menjelang 2050.

Prospek ini menunjukkan peranan penting penggunaan dan penyimpanan tangkapan karbon (CCUS) serta tangkapan udara langsung (DAC), katanya.

Anjuran bersama oleh Petronas dan CERAWeek by S&P Global sebagai rakan kongsi pengetahuannya, Energy Asia 2023 menghimpunkan peneraju industri, pakar, pelabur dan penggubal dasar terkemuka dunia untuk memacu matlamat sifar bersih di rantau ini melalui penyelesaian yang boleh diambil tindakan untuk peralihan tenaga yang adil dan bertanggungjawab.

Bertemakan, ‘Charting Pathways for a Sustainable Asia,’ persidangan selama tiga hari itu memudah cara dialog yang membina antara pemimpin global dan eksekutif perniagaan daripada 19 industri mengenai cara Asia untuk mencapai masa depan yang mampan yang menangani pelepasan selain mengekalkan keupayaannya untuk meneruskan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial.

Energy Asia menampilkan lebih 100 penceramah terkenal dan dihadiri oleh 4,600 delegasi dan lebih 10,000 pengunjung dari 27 negara.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Malakoff Bekerjasama Dengan Syarikat Dubai Tinjau Peluang Berkaitan Loji Kuasa Fotovolta Solar

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd bekerjasama dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar (Masdar) untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang berpotensi melalui pelaburan dan pembangunan projek loji tenaga fotovolta solar dengan kapasiti agregat disasarkan sehingga 1,000 Megawatt (MW).


Mou Cypark-masdar Akan Tingkatkan Agenda Tenaga Boleh Diperbaharui

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Cypark Resources Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC juga dikenali sebagai Masdar, salah satu syarikat tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia untuk memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui Malaysia.


Tangani Pelepasan Daripada Sektor Tenaga, Industri Jadi Tumpuan Malaysia Dalam Perubahan Iklim - Agong

Daripada Anas Abu Hassan

DUBAI, 1 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menangani pelepasan daripada sektor tenaga dan industri menjadi tumpuan tindakan iklim Malaysia berikutan ia menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelepasan karbon negara.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2023 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]