Berita

Terengganu Inc, Tnb Genco Meterai Mou Kaji Kebolehlaksanaan Projek Solar Terapung



KUALA TERENGGANU, 12 Jun (Bernama) -- Syarikat pelaburan induk strategik kerajaan negeri Terengganu, Terengganu Inc (TI) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) untuk mengkaji kebolehlaksanaan projek pembangunan loji tenaga solar fotovoltaik terapung di Tasik Kenyir.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merupakan pengerusi TI berkata kajian tersebut bertujuan untuk mengenal pasti beberapa aspek kritikal sebelum pelaksanaan projek loji solar terapung berkapasiti 500 mega watt (MW) itu diputuskan.

“MoU ini dibuat kerana projek yang dirancangkan itu besar… Jangkaan 500 MW pam solar akan dibina di Kenyir. Maka TI kena buat MoU dengan pihak yang berkepakaran dalam bidang ini iaitu TNB Genco.

“Selesai kajian ini kita akan buat beberapa keputusan penting terhadap pelaksanaan itu termasuk mencari dan menentukan rakan kongsi perniagaan kami. Kita perlukan beberapa syarikat yang berminat sama ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kita sendiri atau pelabur luar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG Affairs 2023) anjuran TI di sini, hari ini. 

Ahmad Samsuri berkata projek berkeluasan 2,000 hektar dan dijangka bakal menelan kos lebih RM1 bilion itu dirancang untuk dibina di Tasik Kenyir sebagai langkah mengoptimumkan penggunaan kawasan tersebut yang berkeluasan satu pertiga Singapura. 

“Ia adalah ladang solar terapung. Jadi satu-satunya water body (tasik besar) yang kita ada hanyalah di situ. Jadi, daripada ada tempat-tempat yang tidak digunakan, bolehlah diambil potensi untuk jadi lokasi pembinaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi berkata kajian tersebut akan dimulakan dalam tempoh tiga bulan akan datang dan dijangka mengambil masa selama lapan bulan untuk dilaksanakan. 

"Banyak isu yang nak kena kaji. Kita pun dah buat persediaan dan untuk kajian ini, TI akan jadi rakan kongsi tempatan. Banyak agensi kita perlu berurusan, dan juga ini merupakan sebahagian daripada bidang perniagaan baharu kami, jadi wajar untuk kami terlibat,” katanya. 

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Malakoff Bekerjasama Dengan Syarikat Dubai Tinjau Peluang Berkaitan Loji Kuasa Fotovolta Solar

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd bekerjasama dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar (Masdar) untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang berpotensi melalui pelaburan dan pembangunan projek loji tenaga fotovolta solar dengan kapasiti agregat disasarkan sehingga 1,000 Megawatt (MW).


Mou Cypark-masdar Akan Tingkatkan Agenda Tenaga Boleh Diperbaharui

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Cypark Resources Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC juga dikenali sebagai Masdar, salah satu syarikat tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia untuk memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui Malaysia.


Tangani Pelepasan Daripada Sektor Tenaga, Industri Jadi Tumpuan Malaysia Dalam Perubahan Iklim - Agong

Daripada Anas Abu Hassan

DUBAI, 1 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menangani pelepasan daripada sektor tenaga dan industri menjadi tumpuan tindakan iklim Malaysia berikutan ia menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelepasan karbon negara.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2023 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]