Berita

Tnb Bekerjasama Dengan Penggiat Tenaga Utama Vietnam Dan Laos



KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) sedang meningkatkan akses tenaga melalui perkongsian rentas sempadan dengan penggiat tenaga utama di Vietnam dan Laos untuk untuk mengukuhkan kesalinghubungan Grid Kuasa ASEAN (APG) dan merealisasikan aspirasi Malaysia menjadikan tenaga boleh diperbaharui (RE) hab untuk ASEAN.

TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata perkongsian itu bertujuan untuk meningkatkan portfolio RE TNB dan mempercepatkan pengembangan anak syarikat milik penuhnya TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) dan Bahagian Tenaga Baharu TNB ke Asia Tenggara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata komitmen TNB dalam mempromosikan RE dan mewujudkan masa depan yang mampan untuk Asia Tenggara tidak goyah.

“Dengan menggabungkan kekuatan dan kepakaran TNB, kami akan membuka potensi TBB yang luas di Vietnam dan Laos, memacu pertumbuhan ekonomi dan peralihan tenaga lebih meluas,” katanya.

Sehubungan itu, TNB telah memeterai tiga perkongsian strategik dengan pemain tenaga utama di Vietnam dan Laos yang bersedia untuk mempercepatkan usaha penyahkarbonan serantau dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pilihan tenaga lebih bersih dan lestari.

Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Vietnam adalah antara TNB Renewables Sdn Bhd (TRe) dan Saigon Gia Dinh Electric Joint Stock Company (EHCMC) (TRe-EHCMC MoU); dan antara TNB Repair and Maintenance Sdn Bhd (TNB REMACO) dan Syarikat Saham Bersama Perkhidmatan Kuasa Utara (EVNNPS) (MoU TNB REMACO-EVNNPS).

MoU TRe-EHCMC adalah untuk meneroka peluang teknologi penjanaan kuasa boleh diperbaharui yang berpotensi di Vietnam manakala MoU TNB REMACO-EVNNPS pula ialah untuk kerjasama.

Kerjasama itu bagi kerja-kerja perkhidmatan berkaitan tenaga yang berpotensi di Vietnam, Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

“Melalui MoU antara TRe dan EHCMC, kami berharap dapat memanfaatkan gabungan kekuatan dan kepakaran kami yang boleh membuka potensi RE yang luas di Vietnam. Menerusi kerjasama TNB REMACO-EVNNPS, TNB menawarkan perkhidmatan bernilai tinggi seperti operasi dan penyelenggaraan (O&M) dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO),” kata Baharin.

Dalam pada itu, Bahrin berkata MoU yang ditandatangani di Laos adalah antara anak syarikat milik penuh TNB, TNB Genco dan Electricite Du Laos (EDL) adalah untuk mengukuhkan kerjasama dengan meneroka peluang pelaburan dalam RE serta meneroka peluang melalui Laos-Thailand Malaysia Power Integration Projek (LTM-PIP).

Beliau berkata TNB bersedia untuk menjadi rakan strategik Laos, memupuk pertumbuhan dan merealisasikan Laos sebagai “Battery of Southeast Asia” (Bateri Asia Tenggara), seiring dengan komitmen TNB untuk mempercepatkan pelan peralihan tenaganya dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Sebagai tambahan kepada pemeteraian itu, TNB juga berpeluang bertemu tokoh utama kerajaan dan industri.

Di Vietnam, TNB bertemu dengan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Vietnam, Nguyen Hong Dian, hasrat telah dikemukakan untuk menyertai projek boleh diperbaharui dan LNG di Vietnam.

“Selain itu, perbincangan telah diadakan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Vietnam Electricity (EVN), Tranh Dinh Nhan dan wakil daripada mengenai potensi kerjasama antara TNB dan EVN untuk menangani agenda peralihan tenaga,” katanya.

Sementara itu, lawatan ke Laos termasuk pertemuan dengan Menteri Tenaga dan Galian, Phoxay Sayasone telah menghasilkan dialog dan kerjasama selanjutnya.

-- BERNAMA 

 

 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2025 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]