Berita

Huawei Hasrat Tarik Lebih Banyak Rakan Kongsi Dalam Industri Kuasa Elektrik Apac

Chief operating officer of Huawei Electric Power Digitalization Business Unit, Zhou Haojie (Pix credit: Huawei)

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Huawei Technologies Co Ltd komited untuk bekerjasama dengan lebih banyak rakan kongsi kuasa elektrik di rantau Asia Pasifik (Apac) serta bersama-sama berinovasi dan mengembangkan penyelesaian kuasa pintarnya bagi memenuhi keperluan transformasi digital industri yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Operasi Unit Perniagaan Pendigitalan Kuasa Elektrik Huawei Zhou Haojie berkata pertumbuhan perniagaan dalam pasaran tenaga Asia Pasifik bergerak seiring dengan sokongan dan pelaburan daripada rakan-rakan kongsinya.

Beliau berkata sebagai antara penyedia infrastruktur teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan peranti pintar terkemuka dunia, Huawei telah menyepadukan teknologi ICT, platform kuasa digital dan pengalaman industri untuk membina sistem penyelesaian kuasa elektrik berdasarkan seni bina Spark.

“Huawei menyasar untuk membantu secara inovatif mengubah dan menaik taraf perusahaan kuasa elektrik supaya mereka boleh mencapai operasi yang selamat, cekap, hijau dan mampan.

“Pada masa ini, Huawei telah bekerjasama dengan lebih 190 syarikat kuasa elektrik di seluruh dunia dan (bekerjasama) dengan rakan-rakan kongsi ekosistem untuk membangunkan lebih daripada 40 penyelesaian berasaskan senario, membuka jalan digital untuk peralihan tenaga global dan neutraliti karbon,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini. 

Menurut Zhou, syarikat itu berharap untuk mengembangkan pasaran dengan rakan-rakan kongsinya serta sama-sama mencapai pertumbuhan berkelajuan tinggi sambil melabur dalam pembangunan keupayaan profesional.

“Pada masa hadapan, kami akan bekerjasama dengan rakan kongsi persatuan untuk mengembangkan pasaran transformasi digital yang bernilai trilion dolar.

“Rakan kongsi sedemikian bekerjasama dengan Huawei dalam pelbagai keupayaan semasa transformasi digital pelanggan untuk bersama-sama menyelesaikan masalah perniagaan pelanggan.

“Kerjasama itu termasuk perundingan transformasi digital, pembangunan bersama produk dan portfolio produk dan penyelesaian industri, perkhidmatan integrasi, dan perkhidmatan profesional ICT.

Zhou menekankan bahawa Huawei sentiasa mematuhi strategi "penyepaduan" dan menerima pakai dasar rakan kongsi yang adil, saksama, telus dan mudah sambil mengejar manfaat bersama melalui kerjasama terbuka.

“Kami akan memberikan sepenuhnya kelebihan yang ada, berusaha untuk memperkemas maklumat dan perkongsian sumber serta mematuhi prinsip “terikat oleh kepentingan, berasaskan integriti dan peraturan” -- untuk membina sistem rakan kongsi yang sihat dan mendapat manfaat bersama,” katanya.

 

Transformasi digital perusahaan kuasa elektrik

 

Zhou turut menegaskan transformasi digital dalam perusahaan kuasa elektrik memerlukan usaha yang memberi tumpuan terutamanya pada keselamatan, kecekapan dan kepuasan pelanggan.

Bagi keselamatan, Huawei telah membangunkan pelbagai penyelesaian untuk memastikan komunikasi, rangkaian dan keselamatan data grid kuasa kekal menjadi keutamaan.

“Ini termasuk Penyelesaian Rangkaian Komunikasi Transmisi dan Transformasi Kuasa, Penyelesaian Rangkaian Komunikasi Pengagihan Kuasa dan Penyelesaian Perlindungan Perisian Tebusan Penyimpanan Kuasa.

“Penyelesaian ini telah berjaya dilaksanakan di negara-negara Asia Pasifik seperti China, Malaysia dan rantau-rantau lain untuk melindungi keselamatan grid kuasa tempatan,” tambahnya.

Selain itu, Zhou berkata penyelesaian Huawei meliputi spektrum penuh senario, termasuk penjanaan kuasa, penghantaran/transmisi, transformasi, pengedaran dan penggunaan tenaga untuk meningkatkan kecekapan dan kepuasan pelanggan.

“Penyelesaian penjanaan kuasa pintar Huawei, penyelesaian pemeriksaan talian penghantaran/transmisi kuasa pintar dan penyelesaian pencawang pintar menyokong perkhidmatan penjanaan kuasa, penghantaran/transmisi dan transformasi di China dan banyak negara Asia Tenggara yang lain, membantu perusahaan kuasa elektrik mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan,” kata Zhou .

 

Perikatan Pendigitalan Kuasa Elektrik APAC

 

Ketika berlangsungnya Persidangan Rakan Kongsi Huawei Asia Pasifik (APAC) baru-baru ini, syarikat itu melancarkan Perikatan Pendigitalan Kuasa Elektrik APAC dan menandatangani memorandum kerjasama dengan Willowglen (Malaysia) Sdn Bhd.

“Dengan ini sebagai titik permulaan, Huawei akan bekerjasama dengan lebih banyak rakan kongsi kuasa elektrik pada masa hadapan untuk bersama-sama berinovasi dan mengembangkan Penyelesaian IoT Pengagihan Kuasa, Penyelesaian Rangkaian Komunikasi Pengagihan Kuasa, Penyelesaian Kampus Tanpa Wayar Kuasa Elektrik dan Penyelesaian Perlindungan Perisian Tebusan Penyimpanan Kuasa,” kata Zhou.

Sejak 2018, Huawei telah bekerjasama dengan Precise System dan Project Co Ltd, rakan kongsi dari Thailand yang telah terlibat secara mendalam dalam industri kuasa selama beberapa dekad.

“Daripada pembangunan bersama awal penyelesaian gerbang pengedaran pintar sehinggalah kepada kerjasama strategik bersama pada masa ini dalam penyelidikan dan pembinaan transmisi pintar, transformasi dan penyelesaian pengedaran, pencapaian luar biasa telah dibuat, sekali gus membina kepercayaan yang mendalam.

“Pada masa hadapan, kami akan mengembangkan dan memperdalam kerjasama dalam perkhidmatan grid pintar, bersama-sama membangunkan penyelesaian inovatif dan menggunakan teknologi terkemuka untuk membangunkan perkhidmatan baharu dan berkualiti tinggi untuk pelanggan,” kata Zhou.

Beliau menambah selain bidang digital, Huawei juga membolehkan rakan kongsi melakukan transformasi digital secara berterusan melalui keupayaan perundingan dan perancangan, keupayaan pembangunan penyelesaian, dan keupayaan penyepaduan teknologi produk.

Zhou berkata ini berdasarkan keperluan pelanggan untuk membantu pelanggan memilih model perniagaan kerjasama terbaik, membolehkan teknologi digital mempunyai pengaruh yang meluas ke atas industri kuasa elektrik.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]