Berita

Sistem Tenaga Cgr Coldgrow Diperkenalkan Di Hub Perkongsian Might

The Minister for Science, Technology, and Innovation (MOSTI) YB Chang Lih Kang launched the COLDGROWâ„¢ CGR energy system at the MIGHT Partnership Hub. Credit : MIGHT

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Sistem tenaga CGR COLDGROW™, aplikasi teknologi berasaskan gas asli cecair (LNG) di lokasi telah dilancarkan di Hab Perkongsian Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Cyberjaya oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang hari ini.

Projek itu merupakan kerjasama antara MIGHT serta Wasave Sdn Bhd, dan menandakan pencapaian penting dalam matlamat MIGHT untuk menangani termasuk menyediakan penyelesaian alternatif kepada kecekapan tenaga kontemporari, perubahan iklim, keselamatan makanan dan cabaran bandar pintar.

Presiden dan Ketua Eksekutif MIGHT Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman dalam satu kenyataan hari ini berkata kerjasama itu mencerminkan kepentingan ekosistem yang kondusif bagi menzahirkan teknologi canggih kepada kejayaan komersial. 

"Sistem CGR COLDGROW™ ini akan menjadi penampilan operasi pertama di Malaysia yang boleh diakses oleh pemain industri tempatan dan antarabangsa. 

"MIGHT komited sepenuhnya dalam menyokong aspirasi negara untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050. Usaha penyahkarbonan kami berpaksikan kepada empat tuas iaitu teknologi mampan dan cekap tenaga, perkongsian antara pihak berkepentingan, kebolehulangan industri serta penjajaran dengan ESG," katanya.

Sistem tenaga CGR COLDGROW™ bersedia untuk menyediakan penyejukan 150RT yang berterusan dengan pengurangan sehingga 75 peratus dalam pelepasan karbon. 

Proses regasifikasi dan pemulihan sejuk ini akan memenuhi keperluan air dingin yang diperlukan bagi menangani keperluan penyejukan MIGHT pada kos tenaga yang lebih rendah memandangkan fasiliti MIGHT sehingga kini terpaksa bergantung kepada perkhidmatan penyejukan daerah (DCS) yang sudah pun berusia 25 tahun. 

Pengasas bersama Wasave, Munira Shahrul Baharin berkata elemen paling menarik dalam teknologi COLDGROW™ ialah sifat modulariti dan serba bolehnya yang mana, ia mampu digunakan dalam pelbagai sektor serta kemudahan industri.

Ini merangkumi pusat data, elektrik dan elektronik, telekomunikasi, penjagaan kesihatan, pembuatan, bilik sejuk, gudang penyimpanan termasuk rumah hijau sederhana rendah. 

 Terdahulu pada majlis pelancaran itu, Chang Lih Kang memuji usaha MIGHT yang sejajar dengan aspirasi negara ke arah Sifar Bersih 2050 dan usaha aktifnya memupuk syarikat pemula niaga dalam bidang teknologi baru muncul.

Ini amat penting dalam bidang utama seperti teknologi kecekapan tenaga, pembangunan konsep kecekapan tenaga modular, memanfaatkan kemungkinan tenaga alternatif selain mewujudkan opsyen tenaga LNG pelengkap untuk pengguna tenaga boleh diperbaharui baharu dan sedia ada.

-- BERNAMA

 

 

 

 





    Berita Lain-lain

Malaysia Sedia Jalin Kerjasama Rapat Dengan Arab Saudi Dalam Bidang Tenaga Diperbaharui

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Malaysia sedia menjalin kerjasama rapat dengan Arab Saudi bagi meneroka potensi usaha sama serta bertukar-tukar ilmu dan pengalaman dalam bidang tenaga diperbaharui  selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).


Malaysia Libatkan Diri Secara Aktif Dengan Negara Asean Kukuhkan Ketersambungan Tenaga - Fadillah

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Malaysia terlibat secara aktif dengan negara-negara ASEAN lain untuk memacu inisiatif serantau seperti Grid Kuasa ASEAN, yang bertujuan memperkukuh ketersambungan dan keselamatan tenaga elektrik di seluruh rantau ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


Storan Tenaga Penting Dalam Majukan Agenda Tenaga Boleh Diperbaharui Malaysia - Schneider Electric

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Storan tenaga memainkan peranan penting dalam memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui Malaysia kata Naib Presiden Kanan Secure Power Division Schneider Electric Natalya Makarochkina.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]