Berita

Sarawak utamakan tenaga boleh baharu bagi capai masa depan sifar bersih



KUCHING, 15 Mac (Bernama) -- Sarawak mengutamakan pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar, angin dan hidroelektrik dalam usaha merealisasikan masa depan sifar bersih di negeri itu.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ini berikutan Sarawak kaya dengan sumber asli yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan penyediaan tenaga bersih dan mampan untuk rakyat manakala aspek inovasi pula dilihat penting dalam usaha pembangunan tenaga berkenaan.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri akan menggalakkan pembangunan teknologi baharu serta penyelesaian yang boleh mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta mempromosi amalan lestari.

“Ini termasuk penggunaan teknologi Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) yang boleh membantu mengurangkan pelepasan industri utama seperti minyak dan gas," katanya pada majlis makan malam bagi meraikan perwakilan Persidangan Karbon Asia 2023 di sini, malam ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Kedua Sumber Asli dan Pembangunan Bandar berkata Sarawak akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan, termasuk sektor swasta, masyarakat awam dan rakan niaga antarabangsa bagi mencapai sasaran lestarinya.

“Menerusi usaha memanfaatkan kepakaran dan sumber yang boleh memacu peralihan kepada masa depan rendah karbon, Sarawak akan mewujudkan peluang ekonomi baharu dan menggalakkan lagi pembangunan sosial yang dapat melindungi alam sekitar.

“Pembangunan industri hijau seperti pertanian lestari, eko-pelancongan dan pembuatan hijau juga berupaya mewujudkan pekerjaan baharu serta merancakkan ekonomi selain menggalakkan amalan lestari. Malah, inilah yang sedang disediakan dan dimuktamadkan dalam Dasar Ekonomi Hijau Sarawak," katanya.

Acara persidangan dua hari itu disertai oleh penceramah dari lebih sembilan negara yang bertujuan menyelami penyelesaian inovatif dan berkesan dalam menangani cabaran perubahan iklim.

Pada masa sama, ia juga bagi menetapkan pendirian dari segi pembuatan dasar, peluang pelaburan dan teknologi baharu dalam pasaran karbon.

-- BERNAMA 

 

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]