Datuk Muhamad Guntor Mansor Tobeng
ALOR SETAR, 13 Mac (Bernama) -- Syarikat penyedia perkhidmatan tenaga solar, Gading Kencana Sdn Bhd berhasrat membangunkan sebuah ladang solar berkapasiti 100 hingga 150 megawatt di Kedah dalam tempoh dua tahun akan datang.
Pengarah Urusannya Datuk Muhamad Guntor Mansor Tobeng berkata setakat ini syarikat itu telah memiliki ladang solar berskala besar di Ayer Keroh, Melaka serta dua lagi di Bidor, Perak dan bercadang mengembangkan perkhidmatannya di utara tanah air.
“Ini adalah perancangan baharu kami (ladang solar di Kedah), maksudnya menjelang 2025 mungkin kita boleh beroperasi, kita sudah masuk tender dan sedang mengenal pasti lokasi tanah untuk dibangunkan ladang solar itu. Kalau ladang solar 100 megawatt pelaburannya boleh mencecah RM400 juta,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Muhamad Guntor berkata langkah yang diambil oleh syarikat itu adalah sejajar dengan dasar kerajaan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal 2050.
Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksanakan kerajaan bagi mencapai sasaran itu termasuk memperkenalkan mekanisme 'feed-in-tariff’ (tarif galakan), bidaan kompetitif bagi pembangunan loji janakuasa solar berskala besar dan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).
Sementara itu beliau berkata Gading Kencana juga bercadang untuk mengembangkan perniagaannya ke luar negara selepas mendapat permintaan daripada beberapa negara termasuk Indonesia, Vietnam dan Kemboja.
Buat permulaan, katanya, syarikat itu telah mendaftarkan syarikat penanaman modal asing di Indonesia bagi membina ladang solar di negara tersebut yang diharap dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurutnya, dua lokasi pembinaan ladang solar itu telah dikenal pasti iaitu sama ada di Jawa, Sumatra atau Banjarmasin, namun menjelaskan permintaan yang tinggi adalah di Jawa.
Selain itu, katanya, syarikat tersebut turut menerima pertanyaan dari negara-negara Afrika iaitu Malawi, Kenya serta Tanzania.
"Ini semua pasaran yang kita sedang fokus. Sekarang ini kita ada fokus eksport produk kita iaitu solar panel ke Nigeria, jadi kita dah ada pelanggan, mungkin kita boleh kembang perniagaan di sana,” katanya.
Terdahulu hari ini Muhamad Guntor menjadi ahli panel pada satu seminar bertajuk ‘Melestarikan Kedah: Mengurangkan Kos Sara Hidup melalui Tenaga Boleh Baharu’ yang diadakan disini.
Seminar tersebut adalah bertujuan untuk menjelaskan mengenai dasar pelepasan karbon sifar bersih dan kepentingan tenaga boleh diperbaharui.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]