Berita

Kerajaan tampung RM10.76 bilion subsidi bil elektrik dari Jan-Jun 2023



KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10.76 bilion bagi menampung subsidi bil elektrik untuk pengguna domestik dan pengguna bukan domestik kategori voltan rendah (LV) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ini meliputi pengguna daripada Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), restoran, kedai runcit, bengkel kecil serta pengguna dalam kategori pertanian seperti petani, penternak dan pekebun.

“Ini bermakna, seramai 9.5 juta pengguna elektrik yang mewakili 99 peratus daripada keseluruhan pengguna di Semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan kenaikan kos bahan api penjanaan elektrik,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini. 

Terdahulu, Nik Nazmi berkata tarif elektrik disemak setiap enam bulan sekali melalui mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) dengan mengambil kira kos bahan api dan kos penjanaan lain bagi tempoh enam bulan ke belakang.

Beliau berkata dalam hal ini, kos ICPT bagi tempoh Julai hingga Disember 2022 adalah sebanyak RM16.16 bilion bersamaan kadar surcaj 27 sen/kWj yang sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna bagi tempoh Januari hingga Jun 2023.

Namun begitu, beliau berkata kerajaan telah bersetuju hanya melepaskan surcaj 20 sen/kWj sahaja kepada pengguna industri dan komersial (voltan tinggi - HV dan voltan pertengahan - MV) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023 dan baki surcaj sebanyak 7 sen/kWj bersamaan RM1.93 bilion ditampung oleh kerajaan.

“Sekiranya kerajaan ingin mengekalkan surcaj 3.7 sen/kWj kepada pengguna industri dan komersial MV dan HV, kos tambahan sebanyak RM4.2 bilion perlu ditampung oleh kerajaan dalam bentuk subsidi bagi tempoh yang sama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 





    Berita Lain-lain

Bomba Akan Sedia Garis Panduan Pemasangan Panel Solar

IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengeluarkan garis panduan dalam pemasangan panel solar di bangunan, premis perniagaan dan rumah di seluruh negara.  


Ahli Dewan Negara Cadang Tnb Beri Rebat Bil Elektrik Susulan Fenomena Cuaca Panas

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) disaran memberikan rebat 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan bil elektrik dari bulan Januari ke Mac tahun ini susulan fenomena cuaca panas yang masih melanda negara.


Utp Menang Anugerah Tenaga Negara Sebagai Pengiktirafan Usaha Kemampanan

KUALA LUMPUR, 18 Mac  (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 di bawah Kategori Anugerah Khas untuk Institusi Pengajian Tinggi, sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha kemampanannya.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]