Berita

Kerajaan timbang bekerjasama dengan industri dalam peralihan tenaga hijau menerusi insentif - Rafizi

Rafizi Ramli (second left)

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan menimbang bekerjasama dengan industri dalam usaha peralihan kepada tenaga hijau menerusi pemberian insentif dalam bentuk pembiayaan berstruktur dan bukan sebaliknya memberikan subsidi, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata sebarang bentuk bantuan kerajaan kepada industri perlu bercirikan struktur yang boleh meningkatkan daya saing dan daya tahan bagi tempoh jangka panjang, daripada hanya sekadar menyediakan subsidi secara berterusan tanpa sebarang perubahan struktur. 

“Ini akan menjadikan pendekatan kerajaan secara sektor demi sektor dan harapnya dengan berbuat demikian, ia akan mempercepat pertumbuhan teknologi, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dalam bahagian ini dan meningkatkan pendigitalan,” katanya semasa sesi panel bertajuk ‘Mengukuhkan Daya Tahan Ekonomi dan Mengekalkan Pembangunan’ pada acara Invest Malaysia 2023, di sini, hari ini.

Rafizi berkata kerajaan akan menumpukan bukan hanya kepada rangka kerja dasar tetapi juga giat  terlibat dengan pemain industri sama ada dalam bentuk pembiayaan, pemberian insentif atau menjalin kerjasama, yang mana kementerian telahpun mengadakan perbincangan dengan pelbagai industri berhubung perkara itu. 

Menurutnya, amalan terbaik bagi penerimagunaan digital adalah menerusi perkhidmatan awam kerana lebih 30 juta orang berurusan dengan kerajaan setiap hari.  

Beliau juga berkata perkara ini sudah ada dalam perancangan aspirasi MyDIGITAL untuk memindahkan data kementerian-kementerian daripada storan fizikal kepada storan Awan dan kerajaan juga giat menggerakkan kehadapan proses pendigitalan. 

“Kita perlu melihat secara lebih menyeluruh bahawa keseluruhan proses kerajaan itu perlu direka dengan mengambil kira pendekatan digital yang menyeluruh. Contoh yang ada sekarang, sebarang borang telah didigitalkan tetapi proses masih sama di mana ada pegawai yang akan semak dan mengurus,” katanya. 

"Pendekatan ini perlu ditukar secara keseluruhan dan pembangunan proses and tatacara kerajaan perlu berdasarkan pengkalan data berpusat,” katanya.

Mengulas mengenai dana 1MDB, Rafizi berkata dana yang didapatkan kembali itu akan dijadikan dana disatu, manakala wang yang diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan akan dipindahkan ke dana pembangunan. 

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]