Nga Kor Ming
KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhasrat untuk mewujudkan kerjasama pintar bersama Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perak (MAIPk) bagi projek pemasangan lampu solar diod pemancar cahaya (LED) di beberapa kawasan di sekitar Kuala Kangsar.
Menterinya Nga Kor Ming berkata projek rintis menggunakan peruntukan KPKT dan dana waqaf MAIPk, akan memberi manfaat kepada penduduk Kuala Kangsar yang berhadapan kesukaran untuk melalui jalan mempunyai kurang pencahayaan pada waktu malam memandangkan lampu jalan sedia ada tidak mencukupi.
“Katakanlah KPKT salurkan RM1 juta (peruntukan) dan MAIPk juga akan sediakan dana wakaf RM1 juta. Itu kita gunakan untuk pemasangan semua lampu solar LED di sekitar kawasan penempatan penduduk yang gelap gelita di Kuala Kangsar, menggunakan peruntukan dari KPKT dan dana wakaf MAIPk.
“Dengan RM2 juta ini, kita menjangkakan boleh pasang antara 300 hingga 400 lampu solar LED, terutama yang menggunakan teknologi solar terang dan tidak perlu membayar bil elektrik,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual eksklusif, baru-baru ini.
Nga berkata inisiatif tersebut dijangka akan dimulakan sebelum sambutan Aidilfitri tahun ini selain turut menyatakan hasrat untuk mempersilakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi berangkat mencemar duli merasmikan projek berkenaan.
“Ini betul-betul sangat berkesan. Bayangkan dalam satu kampung semua lampu solar sahaja, tidak perlu membayar bil elektrik dan ia adalah tenaga hijau,” katanya.
Justeru, beliau berkata sekiranya projek rintis itu berjaya dilaksanakan, KPKT akan menjadi kementerian pertama yang bekerjasama dengan Majlis Agama Islam bagi inisiatif tersebut, dan akan memperluaskannya ke seluruh negara.
Nga dalam pada itu berkata, kementerian turut bercadang untuk mengenal pasti pasar awam berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat kraf dan kreatif serta destinasi pelancongan.
Contohnya, beliau berkata KPKT telah meluluskan peruntukan RM24 juta untuk pembangunan semula Pasar Besar Bukit Mertajam, Pulau Pinang dengan mengadakan pertandingan reka bentuk pasar awam anjuran Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM).
Katanya, PAM akan memilih reka bentuk pasar awam terbaik untuk dibina di kawasan tersebut dengan memiliki ciri-ciri yang berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.
“Jika projek rintis ini berjaya, maka saya menjangkakan dalam masa 20 tahun, semua pasar awam baharu yang kita bina akan ada piawaian tersendiri,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]