JERTIH, 1 Mac (Bernama) -- Kerja-kerja pembinaan pusat janakuasa pembekalan elektrik 24 jam di Pulau Perhentian dan Pulau Redang dijangka bermula April ini.
Projek itu bakal menamatkan penantian lebih 20 tahun penduduk dan penggiat industri pelancongan di dua pulau berkenaan untuk menikmati bekalan elektrik 24 jam.
Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu Ir Mohamad Mohyddin Mohamed Nor berkata pihaknya sedang giat melakukan persiapan untuk melaksanakan projek tersebut termasuk melakukan pertemuan dengan pemain industri pelancongan di pulau berkenaan.
“Pertemuan dengan pengusaha chalet dan pihak berkuasa setempat sedang dilakukan untuk memastikan Projek Pulau Tenaga Hijau itu berjalan lancar. Pusat janakuasa yang menggunakan konsep teknologi hijau iaitu menggunakan tenaga solar akan dibina di pulau berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan dan peralatan persekolahan kepada 200 pelajar terkesan banjir di Dewan Majlis Daerah Besut Gong Kemuntong di sini, hari ini.
Mohamad Mohyddin berkata pembinaan janakuasa tersebut dijalankan menerusi peruntukan yang diluluskan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (kini dikenali Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) pada Julai tahun lepas dengan peruntukan lebih RM200 juta.
“Saya boleh katakan ia merupakan pulau pertama di dunia yang membekalkan tenaga elektrik menggunakan teknologi hijau dan boleh dimanfaatkan oleh pemain industri pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong.
“Projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 2025 yang akan memberi manfaat kepada hampir 600 pengguna domestik, 70 pengusaha hotel, resort dan chalet serta 47 pengguna komersial di dua pulau peranginan itu,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]