Nik Nazmi Nik Ahmad
KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Kadar tarif elektrik di Sabah akan bergantung kepada faktor kos bahan api dan cabaran infrastruktur pembangunan bekalan elektrik di negeri itu, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata ketika ini, adalah agak mustahil bagi kerajaan Persekutuan, mahu pun kerajaan negeri memberi sebarang jaminan berhubung kadar tarif berkenaan, setelah proses penyerahan kuasa kawal selia pembekalan elektrik kepada negeri itu selesai kelak.
“Pembangunan bekalan elektrik di Sabah yang sebagaimana kita tahu berdepan cabaran khususnya di Pantai Timur kerana tidak mempunyai infrastruktur sumber tenaga bahan api sebagaimana ada di Pantai Barat Sabah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ali Biju (PN-Saratok) di Dewan Rakyat hari ini.
Ali ingin tahu langkah-langkah diambil kerajaan untuk memastikan pengguna elektrik di Sabah tidak akan dikenakan tarif lebih tinggi dan terbeban akibat penyerahan kawal selia elektrik tersebut dan jaminan kerajaan untuk terus membantu pengguna di negeri itu.
Bagaimanapun Nik Nazmi berkata, ketika ini, kerajaan Persekutuan sudah pun memberi subsidi yang besar untuk Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), misalnya pada 2021 sebanyak RM711 juta, yang merangkumi RM368 juta untuk subsidi bahan api, subsidi solar (RM310 juta) dan subsidi sokongan tarif sebanyak RM32.4 juta.
Bantuan kewangan itu, membolehkan SESB mengekalkan tarif asas di Sabah pada kadar 34.52 sen/kWj, satu tarif yang rendah berbanding Semenanjung, katanya.
Pada 20 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyerahan kuasa kawal selia pembekalan elektrik negeri Sabah kepada Kerajaan Negeri Sabah ditetapkan pada 1 Januari 2024.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]