Berita

Kerajaan perlu kekalkan dasar tenaga, iklim dalam Belanjawan 2023 - MGA



KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Persatuan Gas Malaysia (MGA) berpandangan kerajaan perlu mengekalkan dasar tenaga dan iklim dalam Belanjawan 2023.

Dalam kenyataan pada Rabu, MGA menjelaskan sebagai penyokong utama industri gas Malaysia, pihaknya memuji inisiatif Kementerian Kewangan yang memberi peluang kepada peserta industri untuk berkongsi pandangan mengenai Belanjawan 2023 semasa sesi dialog yang diadakan di Putrajaya.

“Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 yang terkandung dalam Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022 hingga 2040 yang dilancarkan pada September 2022 menunjukkan Malaysia berada di landasan dengan dasar pragmatik dilaksanakan untuk sebahagiannya melengkapkan agenda perubahan iklim di peringkat nasional,” jelasnya.

MGA, sebagai mewakili peserta industri di seluruh rantaian nilai industri gas Malaysia, menggesa kerajaan untuk mengekalkan komitmen iklim negara terutama aspirasi untuk mencapai Pelepasan Sifar Bersih seawal 2050.

Gas asli, sebagai bahan api fosil paling bersih, berperanan penting dalam mengimbangi dilema tenaga, menyediakan tenaga yang bersih, terjamin, boleh dipercayai dan fleksibel, lain sebagai bahan api penting dalam memastikan negara memenuhi sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau yang lebih baik iaitu 45 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 tanpa menjejaskan jaminan tenaga, tambah MGA.

“Menerusi pelbagai sumber dan rangkaian infrastruktur penghantaran gas yang luas dengan kebolehpercayaan melebihi 99 peratus, gas asli berperanan penting dalam memacu ekonomi dengan menyediakan bekalan tenaga yang tidak terganggu, terutama dalam sektor penjanaan kuasa, sekali gus memastikan jaminan tenaga dan akses tenaga yang luas untuk negara,” menurut persatuan itu.

MGA menekankan bahawa gas asli digabungkan dengan gas rendah karbon dan boleh diperbaharu lain akan mempunyai peranan penting dalam merealisasikan aspirasi mengikut NEP 2022-2040 dan hala tuju Malaysia untuk mencapai keneutralan karbon.

Persatuan itu menggesa kerajaan supaya mengekalkan dasar semasa dan pelan hala tuju berkaitan tenaga termasuk DTN 2022-2040, Pelan Induk Gas Sabah dan Sarawak, liberalisasi pasaran gas sepenuhnya serta pelan hala tuju akan datang seperti Pelan Hala Tuju Gas Asli dan hab Pasaran Gas Serantau.

Ia berkata usaha kerajaan untuk merangkumkan MGA dalam usaha merangka dasar dan pelan hala tuju yang penting dalam kemajuan industri gas Malaysia adalah amat dihargai.

“Pada masa kini, gas asli kekal sebagai sumber tenaga tunggal terbesar di Malaysia, membekalkan kira-kira 42 peratus daripada jumlah bekalan tenaga utamanya pada 2019. Lebih penting lagi, industri gas Malaysia menyumbang lebih RM135 bilion setahun dari segi pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia dan mewujudkan lebih 80,000 pekerjaan untuk keseluruhan ekonomi.

MGA menambah usaha menggalakkan pembangunan dan pengembangan keupayaan dan kapasiti industri adalah penting dalam perancangan dasar dan inisiatif.

Justeru, dalam menyokong agenda kemampanan negara, MGA turut menggesa kerajaan mengekalkan sebahagian daripada Belanjawan 2023 yang akan merangsangkan industri untuk melabur dalam teknologi dan inovasi yang akan menyahkarbonkan sektor tenaga termasuk insentif bagi Penyerapan dan Penyimpanan Karbon (CCS), jelasnya.

“MGA percaya sinergi antara pembuat dasar dan industri penting untuk negara kita dalam usaha kita menangani dilema tenaga dan memulakan peralihan tenaga yang pragmatik dan teratur ke arah mencapai pelepasan sifar bersih.

“Melangkah ke hadapan, sebagai penghubung antara pembuat dasar dan peserta industri, MGA menawarkan diri untuk mengambil bahagian dalam pembangunan dasar dan hala tuju ke arah mencapai pelepasan sifar bersih,” menurut persatuan itu.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]