KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) kini meningkatkan agenda Peralihan Tenaga bertanggungjawabnya menerusi tiga cadangan kerjasama dengan penggiat tenaga utama Thailand bagi memanfaatkan permintaan serantau serta potensi tenaga hijau di Asean.
Di bawah kerjasama itu, TNB berhasrat mengukuhkan kesalinghubungan tenaga Asean dan membolehkan setiap rakan kongsi saling memanfaatkan sumber masing-masing selain membangunkan infrastruktur berkaitan tenaga boleh baharu (TBB) serantau.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, TNB berkata Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (EGAT) dimeterai bagi penubuhan Jawatankuasa Kerja Bersama untuk mengkaji kebolehlaksanaan cadangan peningkatan kapasiti kesalinghubungan di antara Semenanjung Malaysia dan Thailand.
Malah, dua anak syarikat TNB iaitu TNB Renewables Sdn Bhd (TRe) dan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) juga masing-masing menandatangani MoU dengan Planet Utility Co. Ltd (PU) dan B.Grimm Power Public Co. Ltd (B.Grimm).
Menurut syarikat utiliti nasional itu, MoU TRe-PU MoU adalah bagi meneroka potensi TBB dan peluang teknologi penjanaan di Thailand manakala MoU Genco-B.Grimm pula meninjau sebarang peluang kerjasama, penyertaan dan pembangunan projek TBB di rantau Asia Tenggara.
MoU dengan PU melibatkan usaha menilai pilihan strategik bagi pelaburan TBB yang berpotensi di Thailand merangkumi solar terapung, solar atas bumbung dan ladang solar yang menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan TRe dan pengembangan pasaran.
“Kerjasama itu bertujuan memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak dalam pelaburan dan pembangunan projek-projek TBB serta meneroka peluang lain di rantau ini,” katanya.
Menerusi MoU dengan B.Grimm, TNB Genco berhasrat untuk berkolaborasi, membangunkan bersama dan melabur dalam projek baharu tenaga mampan pilihan serta projek tenaga konvensional B.Grimm Power di Asia Tenggara.
“Penglibatan dalam projek-projek ini dijangka menyokong pertumbuhan TNB Genco dan sasaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selaras dengan aspirasi TNB untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Indera Baharin Din berkata kerjasama itu adalah langkah strategik untuk merealisasikan pencapaian penting dalam plan Peralihan Tenaga bertanggungjawab TNB serta komitmen keseluruhan hala tuju kelestarian TNB.
“Sejajar dengan unjuran Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (IRENA) bahawa lebih 60 peratus daripada penjanaan negara-negara ASEAN pada 2050 adalah bersumberkan TBB iaitu sekurang-kurangnya 1,500GW kapasiti penjanaan yang diharapkan turut disertai TNB,” katanya.
Pemeteraian tiga MoU TNB itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Thailand.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]