Berita

Malaysia gesa Irena terus sokong agenda peralihan tenaga serantau - Nik Nazmi

Natural Resources, Environment and Climate Change Minister Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Malaysia menggesa Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) untuk terus menyokong agenda peralihan tenaga serantau berdasarkan keperluan tempatan dan realiti sosial.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Malaysia juga berharap IRENA akan meneruskan usahanya dalam menyokong pertubuhan serantau seperti ASEAN.

“IRENA harus mempertimbangkan untuk menubuhkan pusat sokongan serantau bagi membolehkan sokongan dan kerjasama setempat dalam mempercepatkan usaha peralihan tenaga oleh negara di setiap rantau melalui pembangunan kapasiti dan sokongan teknikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkara itu dibangkitkan Nik Nazmi ketika menyampaikan kenyataan negara pada Perhimpunan IRENA Sesi ke-13 yang diadakan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada 14 hingga 15 Jan.

Nik Nazmi dalam pada itu memuji IRENA atas usaha baiknya dan berterima kasih kepada agensi berkenaan kerana menjalankan kajian mengenai pembangunan Laporan Malaysia Energy Transition Outlook 2050 (METO) yang menilai semula Long Term Energy Scenario Planning sedia ada untuk sasaran tenaga masa depan yang lebih berjaya.

Laporan METO 2050 akan dilancarkan pada suku pertama 2023.

Sementara itu, di luar perhimpunan berkenaan, Nik Nazmi turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga dan Infrastruktur Emiriah Arab Bersatu Suhail Mohamed Al Mazrouei serta Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia Arifin Tasrif, membincangkan mengenai kemungkinan kerjasama dua hala yang boleh diteruskan antara negara berkenaan.

Kedua-dua pihak juga bertukar-tukar nota mengenai pelbagai isu berkaitan tenaga termasuk subjek laluan yang paling berdaya maju dan munasabah dalam peralihan sistem tenaga negara masing-masing.

Perhimpunan IRENA ke-13 yang dipengerusikan oleh India sebagai Presiden Perhimpunan itu dihadiri lebih 1,700 delegasi dari 140 negara anggota .

Perhimpunan itu antara lain membincangkan mengenai keutamaan dan tindakan kolektif yang perlu diambil oleh negara untuk mempercepatkan peralihan tenaga dengan segera dan kekal di landasan dengan matlamat Perjanjian Paris 1.5°c, sambil memastikan peralihan yang adil dan inklusif

-- BERNAMA


 

 





    Berita Lain-lain

Kerajaan tampung RM10.76 bilion subsidi bil elektrik dari Jan-Jun 2023

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10.76 bilion bagi menampung subsidi bil elektrik untuk pengguna domestik dan pengguna bukan domestik kategori voltan rendah (LV) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023.


Kuota tambahan 630 MW untuk pembangunan projek jana kuasa TBB

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memperuntukkan kuota tambahan 630 megawatt (MW) untuk pembangunan projek penjanaan kuasa sumber tenaga boleh baharu (TBB), kata Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad.


Kerajaan timbang bekerjasama dengan industri dalam peralihan tenaga hijau menerusi insentif - Rafizi

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan menimbang bekerjasama dengan industri dalam usaha peralihan kepada tenaga hijau menerusi pemberian insentif dalam bentuk pembiayaan berstruktur dan bukan sebaliknya memberikan subsidi, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2023 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]