Berita

TNB ceburi pembangunan ladang solar di United Kingdom



KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Vantage RE Ltd, anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah memeterai kontrak dengan BELECTRIC GmbH bagi pembangunan greenfield serta pentauliahan ladang solar berkapasiti 102-megawatt (MW) di United Kingdom (UK).

Dalam kenyataannya hari ini, TNB berkata kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan itu turut merangkumi pilihan membangunkan sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti 65MW yang boleh meningkatkan aliran pendapatan menerusi penyertaan dalam perkhidmatan sampingan serta pasaran kapasiti berkaitan.

“Pelaburan ini memaparkan satu pencapaian bermakna untuk TNB dalam usahanya mengembangkan lagi pembangunan tenaga boleh baharu di UK,” katanya.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Baharin Din menyifatkan pelaburan tersebut telah meningkatkan lagi kapasiti tenaga boleh baharu syarikat berkenaan di UK kepada 632MW -- pertumbuhan signifikan sebanyak 61 peratus dalam MW sejak pelancaran Vantage RE pada Julai 2021. 

“Bagi tempoh sehingga suku ketiga 2022), sumbangan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) daripada portfolio tenaga boleh baharu kami di UK telah meningkat sebanyak 31.7 peratus tahun ke tahun kepada £55.6 juta (£1=RM5.38), sekali gus menunjukkan prestasi kewangan yang baik secara berterusan menerusi pendekatan pengurusan aset TNB yang aktif,” katanya.

Dalam pada itu, syarikat utiliti tenaga tersebut berkata ladang-ladang solar itu dijangka mencapai Tarikh Operasi Komersial menjelang suku pertama 2024.

“Ladang yang akan dibina di dua tapak, akan menyumbang pendapatan jangka panjang yang stabil di bawah kontrak 15 tahun bagi skim subsidi Contract For Difference yang diperoleh pada Julai 2022,” katanya.

Malah, TNB juga menyifatkan kedua-dua tapak itu menawarkan peluang bagi inisiatif alam sekitar dalam usaha menggalakkan aspek keuntungan bersih biodiversiti dan menyokong agendanya yang lebih meluas.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]