Berita

TNB gesa penggiat tenaga, sektor awam dan swasta bekerjasama ke arah masa depan mampan

President and chief executive officer Datuk Baharin Din

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) menggesa penggiat tenaga serta sektor awam dan swasta di seluruh dunia untuk terus bekerjasama dan memanfaatkan amalan terbaik masing-masing dalam perjalanan ke arah masa depan yang mampan.

Bercakap pada ENLIT Europe 2022 di Frankfurt, Jerman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Indera Baharin Din berkata tenaga telah menjadi pemacu transformasi yang terbesar dengan perubahan pesat di dunia.

Pada masa sama, katanya trilema antara ekuiti tenaga, alam sekitar dan keselamatan tenaga kekal sebagai cabaran terbesar dalam peralihan tenaga, menurut TNB dalam kenyataan hari ini.

Baharin berkata bagi negara-negara membangun, teras sistem tenaga yang ideal kekal mengimbangi trilema tenaga, apabila akses kepada tenaga mampu milik dan jaminan bekalan menjadi penting.

“Rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada antara tarif elektrik paling kompetitif di Asia Tenggara dan Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) TNB ialah 45 minit yang kini setanding dengan negara-negara maju terbaik di dunia,” katanya.

Bagi TNB, katanya peralihan tenaga mewakili cabaran dan peluang. Cabarannya ialah keperluan untuk beralih dengan segera kepada dunia rendah karbon selain memenuhi jangkaan pemegang saham dan pihak berkepentingan TNB yang meningkat.

“Skala dan kelajuan peralihan tenaga adalah persoalan ekonomi. Oleh itu, kami percaya bahawa menguruskan cabaran ini akan memerlukan peralihan secara berperingkat.

“Kerajaan akan menjadi elemen penting dalam peralihan ini dengan membantu memperkenalkan skim dan dasar pembiayaan inovatif yang memudahkan peralihan dan mengurangkan risiko,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya ASEAN mengiktiraf kesalinghubungan yang kukuh antara negara-negara Eropah yang telah membawa kepada pelaksanaan beberapa nilai termasuk perkongsian sumber selain menguruskan kebolehubahan tenaga boleh baharu.

Merujuk kepada faedah penjimatan kos -- terutamanya semasa krisis tenaga pada tahun ini, diraih oleh pengguna awal tenaga boleh baharu di Eropah sejak dua dekad lepas, katanya TNB telah bekerjasama dengan Grid Tenaga ASEAN serantau untuk mengukuhkan kesalinghubungan bagi mendapatkan kelebihan yang sama.

ENLIT Europe 2022 selama tiga hari yang berakhir pada 1 Dis merupakan perhimpunan pemimpin pemikiran, berwawasan, pegawai tertinggi dan pakar dalam industri tenaga.

Sidang kemuncak itu menghimpunkan lebih 4,000 perwakilan daripada organisasi dan penggiat industri dari seluruh dunia yang berada dalam perjalanan peralihan tenaga yang sama untuk bekerjasama, berinovasi dan membincangkan isu-isu dalam sektor tenaga, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]