Berita

Kongres global UTP himpunkan pakar tenaga, komuniti bestari masa depan

Credit: UTP

IPOH, 25 Nov (Bernama) -- Lebih 700 pakar dalam pelbagai bidang penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan dari 17 negara akan menyertai Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia (ESTCON) ketujuh Universiti Teknologi Petronas (UTP) 2022.

Menurut UTP dalam kenyataan, buat pertama kali sejak penganjuran kali pertama pada 2010, edisi tahun ini akan bersidang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching Sarawak selama dua hari bermula 1 Dis depan.

Bertemakan ‘Future Energy & Smart Communities’ (Tenaga Masa Depan & Komuniti Pintar), kongres berkenaan akan mendalami peralihan dan transformasi tenaga dalam memupuk masa depan yang mampan, sejajar dengan inisiatif peralihan tenaga Petronas ke arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE).

“ESTCON2022 adalah anjuran bersama Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Multimedia, Universiti FPT Vietnam, Universiti Teknologi Brunei dan The Alliance of Government Linked Universities,” menurut kenyataan itu.

Kongres itu disokong Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Akademi Sains Malaysia, kerajaan negeri Sarawak, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia dan Lembaga Juruteknologi Malaysia (MBOT) dengan Petronas sebagai rakan kongsi utama.

ESTCON2022 yang memfokus kepada usaha akademik menawarkan platform untuk individu bagi mengikuti perkembangan terkini penyelidikan dan inovasi, berkongsi pengetahuan, membina hubungan dan mewujudkan kerjasama.

Sementara itu, Naib Canselor UTP yang juga Pengerusi ESTCON2022 Prof Ts Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata kongres itu merangkumi pelbagai topik daripada inovasi, kejuruteraan dan teknologi kepada kemanusiaan, menangani trend dan cabaran terkini.

Beliau berkata ESTCON2022 adalah kongres terbesar di dunia dengan lapan persidangan antarabangsa diadakan serentak yang memberi tumpuan kepada isu-isu berbeza berkaitan tema masing-masing.

“Lapan persidangan itu selari dengan objektif UTP bagi membolehkan universiti membuka sempadan baharu, merintis penyelidikan, mencipta teknologi baharu dan memperkenalkan penyelesaian serta kaedah inovatif untuk pembangunan mampan yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Antara persidangan yang akan berlangsung adalah International Conference on Digital Transformation and Intelligence (ICDI), International Conference on Emerging Smart Cities (ICESC), International Conference on Sustainable Oil Recovery and Digital Solutions (ICSORDS), International Conference on Environmental, Social, and Governance (ICESG).

ESTCON2022 menampilkan dua penceramah terkemuka iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Tenaga di United Kingdom Dr Nick Wayth yang akan menyampaikan ucapan bertajuk ‘Just Energy Transition: Strengthening Energy Security and Achieving Carbon Neutrality’ manakala pengasas dan CEO Aerodyne Group berucap mengenai ‘Internet of Cities: The Adaptation of AI in Tailoring Smart Cities’.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]