KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menandatangani dua perjanjian penting dengan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) berkaitan dengan peluang kerjasama berdasarkan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.
Menurut kenyataan Petronas pada Jumaat, pemeteraian pertama melibatkan Perjanjian Dasar Induk (HOA) untuk memperluas penggunaan gas asli di negeri itu bagi membekalkan 60 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) gas mulai 2026 kepada stesen jana kuasa turbin gas kitaran gabungan 400 MW yang dicadangkan di Miri.
Ia susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani pada Disember 2021 berkaitan dengan jumlah bekalan gas asli yang disemak untuk Sarawak bagi pelaksanaan projek di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak, jelasnya.
Petronas memaklumkan justeru, pihaknya akan membangunkan sumber gas baharu serta infrastruktur luar pesisir dan daratan yang berkaitan untuk menyokong bekalan gas tambahan, sekali gus langkah ini menandakan bermulanya pembangunan Hab Miri seperti yang ditetapkan dalam pelan itu.
Syarikat minyak nasional itu juga menjelaskan, sebagai tambahan kepada HOA tersebut, Petronas dan Petros akan bekerjasama rapat untuk mewujudkan penyerapan dan penyimpanan karbon (CCS) sebagai peluang perniagaan baharu melalui satu kajian pelan hala tuju ekosistem CCS, dalam meletakkan Sarawak sebagai hab pensekuesteran serantau.
Kedua-dua pihak juga berusaha untuk menggalakkan penyertaan syarikat Sarawak dan pembangunan bakat tempatan dalam bidang baharu ini, tambah Petronas.
Menurut Petronas, untuk memformalkan usaha itu, satu Perjanjian Kerjasama Bersama (JCA) juga ditandatangani untuk memudahkan pengawasan pembangunan CCS dan pengoperasiannya di Sarawak, sebagai peralihan industri ke arah masa depan karbon rendah.
HOA dan JCA itu ditandatangani pada 19 Okt, 2022 semasa majlis sambutan ulang tahun kelima Petros.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Datuk Adif Zulkifli berkata sebagai rakan kongsi jangka panjang Sarawak, Petronas terus melakukan peranan dalam membangunkan industri minyak dan gas yang mampan dan progresif dalam landskap peralihan tenaga, menerusi projek berkelas dunia.
Beliau berkata projek berkelas dunia itu seperti pembangunan gas Kasawari, yang termasuk aplikasi teknologi pensekuesteran karbon.
“Pada masa sama, Petronas juga akan terus menarik pelaburan baharu ke dalam sektor huluan untuk menyokong peningkatan permintaan terhadap gas seperti yang dijangkakan dalam Pelan Hala Tuju Gas Sarawak,” katanya.
Pada majlis yang sama, Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), anak syarikat milik penuh Petronas menandatangani Perjanjian ‘Farm Out’ atau pajakan dengan Petroleum Sarawak Exploration & Production Sdn Bhd (PSEP), anak syarikat milik penuh Petros bagi penjualan 45 peratus kepentingan penyertaan bukan operasi milik PCSB dalam Blok SK407 PSC.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]