Berita

Coara Marang Sdn Bhd lancar ladang solar di Marang



MARANG, 26 Okt (Bernama) -- Coara Marang Sdn Bhd hari ini melancarkan ladang tenaga solar fotovoltaik (PV) di sini, antara ladang solar terbesar di Malaysia.

Pengarah Eksekutif Coara Solar Sdn Bhd Susan Hemming berkata Projek Solar Coara Marang yang melibatkan kos sebanyak RM400 juta itu telah dibangunkan di kawasan seluas 245 hektar dan ia merupakan hasil kerjasama dengan rakan niaganya dari Jerman, syarikat ib vogt GmbH.

“Pembinaan ladang solar ini bermula pada Februari 2021 dan berakhir pada April lepas. Ladang ini mencapai operasi komersial pada 17 Sept 2022. 

“Ia akan mencapai kecekapan pengeluaran tenaga maksimum sehingga 116 MWp (Megawatt peak) dengan anggaran penghantaran tenaga bersih sebanyak 230 GWj (GigaWatt jam) setahun dan ia bersamaan dengan purata penggunaan tahunan 55,000 isi rumah,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Operasi Komersial Projek Solar Coara Marang di sini hari ini.

Susan berkata penghasilan tenaga daripada ladang solar itu juga akan membantu meningkatkan kemampanan alam sekitar dengan mengurangkan pelepasan sehingga 120,000 tan karbon dioksida setahun.

“Kami berbesar hati dapat memainkan peranan positif dan menyumbang ke arah agenda perubahan iklim Malaysia dalam menjana tenaga bersih yang mampan, yang tidak menghasilkan pelepasan gas rumah hijau dan mengurangkan pencemaran udara,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Puteh berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong inisiatif seumpama itu yang menyumbang ke arah pemerkasaan penggunaan teknologi hijau.

“Projek Solar Coara Marang merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Malaysia untuk mencapai 31 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2025 yang kini telah mencapai sebanyak 25 peratus,” katanya.

Selain itu, katanya pembinaan ladang solar itu juga menyediakan kira-kira 500 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat di Marang.

-- BERNAMA

 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]