Berita

Bio Eneco sasar pertingkat jualan bahan api biojisim secara global, tumpu Jepun

Managing director Oliver Yeo

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Bio Eneco Sdn Bhd (Bio Eneco) yang berjaya memperoleh kontrak dari Jepun dan Filipina baru-baru ini, menyasarkan untuk membekal sejumlah 2.3 juta tan metrik bahan api biojisim di peringkat global dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pemaju, pengilang dan pembekal bahan api biojisim terkemuka Malaysia itu merancang untuk mengembangkan hab biojisimnya di lokasi berdekatan Northport, Pelabuhan Klang.

Langkah itu dapat memudahkan lagi usaha pengembangannya di peringkat global dengan tumpuan terhadap Jepun yang mempunyai unjuran jumlah permintaan biojisim sebanyak 23 juta tan pada 2025, hampir tiga kali ganda daripada kadar semasa.

Pengarah urusan Oliver Yeo berkata Jepun merupakan pasaran biojisim kelima terbesar dunia dan kerajaannya telah beralih daripada pergantungan fosil kepada tenaga boleh diperbaharui yang disasarkan menyumbang 22-24 peratus daripada campuran elektriknya menjelang 2030.

“Ini secara berkesan telah mendorong permintaan bagi bahan api biojisim seperti tempurung isirung sawit dan pelet kayu apabila lebih banyak kemudahan tenaga boleh diperbaharui mula beroperasi.

“Bio Eneco telah memperoleh kontrak daripada syarikat multinasional terkemuka untuk membekalkan bahan api biojisim kepada loji janakuasa di Jepun. Kami turut menjangkakan untuk memperoleh lebih banyak kontrak dalam beberapa bulan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Yeo berkata, sebagai pemaju, pengilang dan pembekal bahan api biojisim terkemuka dengan kehadiran kukuh di rantau ini, Bio Eneco yakin produk berkualiti tingginya dapat memenuhi permintaan di Jepun.

Bio Eneco, yang telah mengeksport berjuta-juta tan bahan api biojisim gred tinggi di peringkat global, pada masa ini mengendalikan kontrak pembekalan produk bahan api tersebut ke Korea Selatan, Thailand dan Filipina.

“Penghantaran pertama tempurung isirung sawit seberat 6,800 tan ke Filipina telah tiba di Pelabuhan Manila, baru-baru ini,” katanya.

Menurut Bio Eneco, produknya boleh diperoleh serta digunakan secara meluas di loji janakuasa dan loji perindustrian di benua Asia selain turut bersedia menembusi pasaran besar kediaman di negara-negara Eropah.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]