Berita

Yayasan Sabah meterai perjanjian usaha sama pengeluaran tenaga boleh diperbaharui



KOTA KINABALU, 18 Okt (Bernama) -- Yayasan Sabah hari ini memeterai perjanjian usaha sama dengan G Capital Berhad untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui menerusi loji jana kuasa hidroelektrik mini di seluruh Sabah bagi melengkapkan penjanaan bekalan elektrik di negeri ini.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Innoprise Synergy Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Yayasan Sabah yang diwakili Pengerusinya Tan Sri Pandikar Amin Mulia manakala G Capital Berhad diwakili Pengarah syarikat milik penuhnya, CM Creative Itinerary Sdn Bhd Zulkepli Mishat sambil disaksikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu di sini.

Di bawah perjanjian itu, beberapa loji jana kuasa hidroelektrik mini akan dibina dengan jumlah kapasiti kuasa 65 Mega Watt.

Hajiji dalam ucapannya berkata dengan memanfaatkan iklim dan sungai di Sabah, loji jana kuasa hidroelektrik mini ini adalah antara penyelesaian holistik kepada kekurangan bekalan kuasa di negeri ini.

“Saya yakin bahawa perjanjian usaha sama ini akan menyumbang kepada bekalan kuasa yang stabil kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan menarik pelaburan berkualiti,” katanya dan menambah Kabinet Sabah akan terus menyokong cadangan projek yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyatnya.

Hajiji berkata meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui adalah selaras dengan dasar kerajaan Persekutuan dan Matlamat Pembangunan Mampan serta satu daripada tiga teras utama dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu infrastruktur hijau dan rangkaian kemampanan.

Beliau berkata penjanaan tenaga hijau seperti loji jana kuasa hidroelektrik kecil akan menarik lebih ramai pelabur, khususnya mereka yang mengutamakan tenaga hijau dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

Hal ini akan menyokong pertumbuhan dan perkembangan ekonomi Sabah selain memanfaatkan industri dan komuniti tempatan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mewujudkan laluan untuk kerjaya profesional, katanya.

Sementara itu, Pandikar Amin ketika ditemui pemberita berkata kira-kira 20 sungai di seluruh Sabah telah dikenal pasti bagi tujuan itu, namun pihaknya perlu melakukan kajian terperinci termasuk melihat impak terhadap alam sekitar sebelum memulakan projek berkenaan.

Beliau berkata pihaknya buat masa ini telah membuat penilaian awal di lima lokasi sungai terletak di beberapa daerah di Sabah iaitu Sungai Bayoyo, Sungai Rayoh, Sungai Mokodou, Sungai Wariu dan Sungai Panataran yang dilihat bersesuaian bagi pembangunan projek itu.

Pembinaan projek berkenaan akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk disiapkan berdasarkan pengalaman serta penglibatan G Capital Berhad, sebuah syarikat tenaga boleh diperbaharui terkemuka, dalam pembangunan beberapa projek kuasa hidroelektrik kecil di Perak dan Pahang, katanya.

Beliau berkata pembangunan projek itu tidak akan melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri, sebaliknya akan menggunakan pembiayaan antara lain menerusi hasil penjualan ekuiti dan dana awam.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]