Berita

GCAP, Yayasan Sabah akan bangunkan bersama projek kuasa hidro mini di Sabah



KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh G Capital Bhd (GCAP), CM Creative Itinerary Sdn Bhd, memeterai perjanjian usaha sama dan pemegang saham dengan Innoprise Synergy Sdn Bhd dan Kerap Hijau Sdn Bhd untuk membangunkan projek kuasa hidro mini di Sabah.

GCAP dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pihak-pihak yang terlibat bersetuju untuk mengumpulkan sumber mereka secara kolektif dan mengumpulkan sekurang-kurangnya RM3 bilion untuk membangunkan projek kuasa hidro mini pertama berkuasa 200-megawatt (MW), yang akan dibiayai menerusi pengumpulan dana dan juga pinjaman bank. 

Yayasan Sabah Group, pertubuhan milik negeri merupakan syarikat pegangan Innoprise manakala Kerap Hijau menerima kelulusan untuk menggunakan nama Sabah Renewable Energy Corporation Sdn Bhd (SREC). 

SREC pada dasarnya mengendalikan kemudahan yang menjana tenaga elektrik dan dagangan am manakala Innoprise terlibat dalam mengurus dan mengendalikan pengagihan kuasa  bebas.  

Pengerusi Innoprise merangkap wakil Yayasan Sabah, Tan Sri  Pandikar Amin Mulia, berkata GCAP adalah satu daripada pemain tenaga boleh diperbaharui utama di Malaysia dalam pembangunan jana kuasa hidro mini dan sudah pastinya merupakan aset bagi membantu Sabah mencapai wawasan Sabah Maju Jaya. 

Beliau berkata usaha sama itu dijangka dapat merangsang transformasi Green Sabah di bawah wawasan Sabah Maju Jaya dan telah mengenal pasti lima skim kuasa hidro dengan anggaran kapasiti 65.3MW.

“Skim kuasa hidro mini itu selepas siap kelak dijangka dapat menyelesaikan krisis tenaga yang dihadapi penduduk Sabah selain menjana hasil tahunan sebanyak RM85 juta kepada pemegang saham.

“Kerjasama strategik dengan GCAP meningkatkan keyakinan kami untuk membawakan impak positif kepada Sabah dari segi sosio ekeonomi (status) selain memulihara alam sekitar,” katanya. 

Lima skim kuasa hidro itu adalah skim kuasa hidro Sg Bayoyo (Sg Bunsit), skim kuasa hidro Sg Rayoh, skim kuasa hidro Sg Mokodou, skim kuasa hidro Sg Wariu dan skim kuasa hidro Sg Panataran (Sg Melangkap).  

Sementara itu, Pengarah Eksekutif GCAP Datuk Yap Yee Ping berkata projek tersebut akan menjadi penerokaan sulung kumpulan itu dalam perniagaan tenaga boleh diperbaharui di Sabah dan Sarawak.

Menerusi kerjasama dengan Innoprise dan SREC, kumpulan itu yakin akan berjaya mengumpulkan dana bagi membangunkan projek kuasa hidro mini tersebut, katanya.

“Pembangunan bersama projek kuasa hidro mini di Sabah itu sejajar dengan sasaran Malaysia untuk mencapai 31 peratus bahagian tenaga boleh diperbaharui dalam gabungan kapasiti nasional menjelang 2025. 

“GCAP akan menonjol sebagai satu daripada pemain tenaga boleh diperbaharui utama di Malaysia, menawarkan penyelesaian tenaga lestari dan menambah baik prestasi kewangan, kedudukan kewangan dan reputasi kumpulan,” katanya. 

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]