Berita

Industri OGSE perlu perubahan tangani cabaran peralihan tenaga, penyahkarbonan - Mustapa

Kredit: MPRC

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) perlu mengubah sistem, model perniagaan, andaian ekonomi, peraturan pasaran dan rangka kerja tadbir urus untuk mengatasi cabaran akibat peralihan tenaga dan penyahkarbonan, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata industri OGSE memainkan peranan penting berikutan penggiat industri paling sesuai untuk memberikan nasihat mengenai keperluan teknologi dan pengetahuan teknikal.

“Kerajaan akan meneruskan usaha untuk terlibat dan bekerjasama dengan industri. Dalam dunia global dan saling berkait hari ini, manusia tidak dapat hidup bersendirian dan memerlukan orang lain,” katanya dalam ucaptama pada Jerayawara OGSE Kebangsaan 2022 di sini hari ini.

Berikutan negara mengharungi peralihan tenaga global ini, beliau menegaskan mengenai kepentingan untuk industri OGSE berupaya membina daya tahan terhadap kejutan luar dan meningkatkan kemampuannya ke arah set kemahiran berhampiran seperti tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga dan penyahkarbonan.

“Syarikat-syarikat OGSE juga perlu menyemai komponen kemampanan dalam strategi perniagaan. Saya yakin mereka yang mampu membangunkan produk dan perkhidmatan untuk menangani cabaran tenaga global akan kekal dalam jangka panjang.

“Saya optimis inisiatif-insiatif ini akan membantu penggiat OGSE untuk memenuhi permintaan dalam agenda kemampanan,” katanya.

Mustapa berkata Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) dalam usaha menyediakan Pelan Kemampanan OGSE Nasional (NOSP) yang dijadual dikeluarkan pada akhir tahun ini.

Menurut Mustapa, rancangan kerajaan bagi kemampanan OGSE akan digariskan menerusi pembangunan Pelan Hala Tuju Kemampanan OGSE Kebangsaan pada 2023 dan Rangka Kerja Kemampanan OGSE Kebangsaan pada 2024.

“Komitmen kami terhadap Agenda 2030 (untuk pembangunan mampan) kekal satu keutamaan kepada negara. Ini turut dicerminkan dalam usaha kami untuk mencapai pertumbuhan mampan dalam industri minyak dan gas (O&G).

“Melaksanakan peranan ini pada setiap tahun akan membolehkan kami menangani cabaran struktur dalam industri yang dinamik ini dan melakukan penyesuaian sekiranya perlu,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPRC Mohd Yazid Ja’afar berkata Jerayawara OGSE Kebangsaan 2022 bukan sahaja membolehkan peserta untuk membiasakan diri dengan Rangka Tindakan OGSE, malah apakah pengertiannya kepada mereka.

Beliau berkata Dasar Tenaga Negara 2022-2040 yang dilancarkan baru-baru ini bermatlamat untuk membawa manfaat ke seluruh ekonomi Malaysia berikutan sektor minyak, gas dan tenaga memulakan laluan kepada peralihan tenaga.

“Saya gembira untuk berkongsi bahawa kami akan mengadakan satu sesi mengenai Dasar Tenaga Negara oleh EPU di Jabatan Perdana Menteri sebagai sebahagian daripada program kami.

“Seiring dengan tema program “Membuka Peluang Dalam Landskap Tenaga Di Malaysia,” pembentangan dan sesi panel pada hari ini akan mengetengahkan prospek industri minyak, gas dan tenaga, terutamanya berikutan peralihan tenaga dan masa depan rendah karbon yang akan kita alami,” katanya.

Mohd Yazid percaya sesi pada hari ini akan memberikan dorongan kepada syarikat untuk memanfaatkan jangkaan sifat karbon rendah dalam aktiviti O&G tradisional dan meneroka peluang pertumbuhan baharu sektor-sektor berhampiran O&G serta kaedah terbaik untuk membina keupayaan agar relevan dan berjaya pada masa depan yang memberi tumpuan kepada karbon rendah dan tenaga mampan.

“Sememangnya, kami juga berharap anda (syarikat-syarikat) memanfaatkan sokongan kerajaan yang terdapat dalam Rangka Tindakan OGSE untuk membantu anda berkembang maju,” katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata kerajaan menerusi MPRC selaku agensi di bawah EPU telah bekerja keras untuk menyempurnakan inisiatif yang telah digariskan di bawah rangka tindakan ini.

“Kerajaan telah memberikan RM8.48 juta kepada 36 syarikat bagi Geran Pembangunan OGSE. Geran ini bertujuan mempercepat penerimagunaan teknologi.

“Sebahagian daripada projek ini sedang dijalankan oleh penerima termasuk robotik dan analisis kecerdasan buatan,” katanya.

Secara keseluruhannya, kerajaan telah memperuntukkan RM25 juta bagi Geran Pembangunan OGSE di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Bagi memajukan dan mengekalkan bakat, beliau berkata kerajaan turut aktif mempromosikan peluang pekerjaan dan pembinaan kapasiti OGSE untuk mengalakkan peningkatan kemahiran dan pengiktirafan, seiring dengan keperluan industri.

“Kami juga mencapai kemajuan dengan inisiatif pengiktirafan syarikat OGSE. Pengiktirafan formal akan memudahkan sokongan yang disasarkan apabila peserta industri akan diperkasa bagi memenuhi keperluan modal kerja dan mengembangkan perniagaan mereka.

“Sehingga kini, hampir 500 syarikat telah diiktiraf sebagai syarikat OGSE,” katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]