Berita

TNB labur RM21 bilion dalam program grid masa depan

Datuk Ir Baharin Din (Credit: TNB)

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) sedang melabur sebanyak RM21 bilion dalam program Grid Masa Depan bagi tempoh 2022 hingga 2024 untuk meningkatkan ketersediaan dan kebolehpercayaan rangkaian penghantaran dan pembahagiannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Baharin Din berkata di peringkat serantau,  TNB secara proaktif mengenal pasti lokasi grid penghantaran yang akan meningkatkan integrasi pasaran selain akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan.

“Memandangkan masa yang diperlukan untuk merancang dan menyediakan infrastruktur kawal selia, kewangan serta fizikal yang dikehendaki, rantau ini mesti bertindak pantas untuk mempercepatkan usaha ini.

“Kita semua mesti memainkan peranan masing-masing dalam perjalanan kita bersama ke arah masa depan yang lebih hijau, saksama dan berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata syarikat-syarikat utiliti kuasa ASEAN perlu mempercepatkan kerjasama ke arah mencapai Grid Kuasa ASEAN (APG) yang saling hubung dalam menyokong matlamat bersama rantau ini untuk mencapai pelepasan sifar bersih apabila negara anggota beralih kepada tenaga yang lebih bersih dan lebih mampan.

Baharin menegaskan bahawa grid yang saling hubung seperti APG adalah penting dalam membantu negara anggota ASEAN memanfaatkan sumber daripada negara jiran mereka semasa tempoh krisis, serta menyediakan peluang untuk berdagang dan mengguna pakai penetapan harga sumber pada masa-masa lain.

Ketika utiliti-utiliti kuasa ASEAN mempercepatkan peralihan mereka kepada masa depan yang mampan, perkongsian sumber tenaga boleh diperbaharui akan merangsang aliran masuk tambahan pelaburan swasta ke ASEAN, serta memacu inovasi dan pertumbuhan tenaga bersih di rantau ini, katanya.

Memetik kejayaan permulaan Projek Integrasi Tenaga Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura (LTMS-PIP) tahun ini, Baharin berkata beliau yakin syarikat kuasa ASEAN boleh berusaha ke arah merealisasikan APG.

"Kita berada dalam kedudukan yang baik untuk mereka bentuk rangka kerja perdagangan kuasa yang diharapkan akan sepadan dengan struktur industri elektrik setiap negara dan menyediakan situasi yang menguntungkan semua," katanya.

Beliau menambah TNB, dalam pendekatan holistiknya terhadap peralihan tenaga yang bertanggungjawab, mengakui akan kepentingan hubungan ASEAN.

“Justeru, kami komited untuk mempercepatkan kemajuan APG,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]