Berita

Sabah mulakan langkah kawal selia bekalan elektrik dan gasnya sendiri

Credit: Sabah Chief Minister office

KOTA KINABALU, 25 Ogos (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor telah memulakan rancangan untuk negeri itu mengawal selia bekalan elektrik dan gasnya sendiri dengan menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (SEC) dan mengambil alih Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Pejabat Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan hari ini berkata Hajiji mempengerusikan bersama siri mesyuarat jawatankuasa dengan Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Putrajaya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed di Kuala Lumpur.

“Dalam mesyuarat pertama jawatankuasa pemandu (bersama-sama Takiyuddin) mengenai penyerahan kuasa bagi mengawal selia bekalan elektrik dan SESB kepada kerajaan negeri, telah dipersetujui bahawa KeTSA akan menerima cadangan kerajaan negeri untuk mengambil alih SESB melalui dua peringkat kepada Kabinet Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah dipetik sebagai berkata kerajaan negeri perlu terlebih dahulu menubuhkan SEC agar pihak berkuasa kawal selia bekalan elektrik boleh ditukarkan daripada kerajaan Persekutuan kepada negeri berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri dijangka mengambil semula SESB dengan liabiliti sifar sebaik sahaja Pelan Transformasi SESB selesai dalam tempoh lima hingga tujuh tahun dari sekarang.

Justeru, beliau berkata penyelarasan dan kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bagi memastikan proses undang-undang dapat dilaksanakan dengan lancar.


Credit: Sabah Chief Minister office

Sementara itu, Ketua Menteri berkenaan turut membincangkan program dan projek yang dicadangkan pelaksanaannya di Sabah di bawah Pelan Pembangunan Penjanaan Bekalan Kuasa Sabah 2022-2041.

Beliau berkata kerajaan negeri mencadangkan supaya projek Loji Janakuasa Kitaran Tergabung 100-megawatt (MW) yang telah dibuka tender, dibina di Kimanis yang mempunyai sumber gas mencukupi dan sedia ada.

Kerajaan negeri turut menyokong permohonan New Sabah Hydro bagi cadangan pembangunan Loji Hidroelektrik 170 MW Konsep ‘Run of River’ di Sungai Maligan dan Hulu Sungai Padas, Sipitang, yang telah dibentangkan dan diluluskan oleh Kabinet Sabah.

Hajiji berkata cadangan projek New East Gas 135 MW wajar dihentikan sekiranya tarif tidak kompetitif, manakala projek Southern Link Distribution perlu dilaksanakan dalam satu pakej dan bukan secara berperingkat melalui pembiayaan langsung di bawah Rancangan Malaysia ke-12 menjelang 2027.

“Kerajaan negeri turut menyarankan agar Kerajaan Persekutuan menghentikan Saluran Paip Trans-Sabah kerana ketiadaan bekalan gas. Malah, kontraktor itu telah menerima bayaran bagi projek berkenaan untuk melaksanakan projek Southern Link,” katanya.

Hajiji juga menggesa projek menaik taraf grid pengagihan kuasa dilaksanakan segera dari Segaliud, Sandakan ke Dam Road, Lahad Datu dan Mengalong, Sipitang ke Lawas, Sarawak.

Kerajaan negeri turut memohon agar harga gas di loji janakuasa bebas sedia ada dikekalkan pada kadar minimum RM6.40 bagi setiap juta unit termal Britain sehingga konsesi berakhir bagi mengelakkan penurunan mendadak kos operasi yang akan memberikan impak langsung ke atas tarif elektrik Sabah.

Mengulas mesyuarat jawatankuasa pemandu bersama-sama Mustapa mengenai penyerahan bagi pengurusan dan pengawalan sumber gas, Hajiji berkata langkah tersebut akan membolehkan Sabah untuk terlibat secara langsung dengan aktiviti minyak dan gas demi kepentingan negeri dan rakyat.

Langkah kerajaan negeri untuk mengambil alih pengurusan dan kawalan bekalan gas di Sabah adalah sejajar dengan pelbagai inisiatif berkaitan yang telah dirancang dan dilaksanakan di negeri itu, katanya.

“Kerajaan negeri komited untuk memastikan industri gas di Sabah akan terus membangun melalui dasar-dasar berkaitan tanpa mengabaikan keselamatan dan kecekapan perkhidmatan kepada pelanggan serta memastikan tiada gangguan operasi semasa tempoh peralihan itu,” katanya.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]