Berita

Solarvest perkenal Powervest, platform fintech tenaga boleh baharu pertama di Malaysia



KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Pakar tenaga bersih, Solarvest Holdings Bhd memperkenalkan platform teknologi kewangan (fintech) tenaga boleh baharu pertama di Malaysia, penyelesaian pembiayaan solarnya, Powervest.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Davis Chong berkata perkhidmatan pertama itu merupakan lanjutan daripada Powervest, yang dilancarkan pada September 2021 untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu dalam kalangan pemain komersial dan industri melalui proposisi perbelanjaan tunai permulaan sifarnya.

Katanya penyelesaian fintech baharu ini akan menambah baik keseluruhan perkhidmatan Powervest, menjadikan peralihan kepada tenaga bersih sebagai pengalaman yang lancar, dengan pengalaman digital sepenuhnya untuk pelanggannya.

Antara ciri utamanya ialah analisis kesihatan kredit dan penyediaan penyelesaian pembiayaan tenaga boleh baharu (RE), katanya pada sidang media secara maya di sini hari ini.

“Kami menyasarkan untuk meningkatkan industri dengan memanfaatkan platform ini. Kami percaya industri RE hanya dapat ditingkatkan jika kami terus berusaha untuk membangunkan ekosistem sokongannya. Sebagai peneraju pasaran, menjadi tanggungjawab kami untuk memberi inspirasi kepada kemajuan dan menggalakkan inovasi dalam sektor ini.

“Dengan platform bersepadu yang dapat mengendalikan semua proses daripada semakan kesihatan kredit hingga menjana cadangan RE dalam Powervest, kami yakin kadar penggunaan RE akan menyaksikan lonjakan yang besar pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini, pemasangan tahunan untuk tenaga solar untuk pasaran komersial dan industri sebanyak 200 Megawatt (MW) hingga 250 MW dan ia menyasarkan untuk menyalurkan 300 MW hingga 350 MW untuk meningkatkan industri RE dengan platform fintech berikutan keseluruhan masa proses dapat dipendekkan daripada setahun kepada kurang daripada tiga bulan.

Mengenai prospek industri RE, beliau berkongsi bahawa persekitaran makro semasa industri solar adalah mencabar disebabkan gangguan rantaian bekalan yang semakin meningkat, isu logistik dan krisis tenaga, tetapi dasar kerajaan yang dilaksanakan terus memacu momentum tersebut.

“Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai dasar yang kukuh untuk memacu tenaga boleh baharu yang membantu memacu pasaran. Dalam gambaran yang lebih besar. Di ASEAN, kita menyaksikan terdapat momentum yang baik untuk RE di Filipina, Thailand, Indonesia dan Vietnam.

“ASEAN merupakan pasaran RE yang penting yang seterusnya di peringkat global selepas China dan India untuk dipertimbangkan oleh pelabur antarabangsa dan pemain tempatan,” katanya.

Bagi Solarvest, katanya strategi pertumbuhan perniagaan diselaraskan dengan negara-negara yang dipacu oleh dasar RE dengan baik dan ini termasuk Taiwan.

“Kami berkembang di lima negara ASEAN dan Taiwan. Solarvest turut merancang untuk berkembang dengan menambah teras atau rantaian nilai yang berbeza seperti penyepaduan teknologi seterusnya untuk sistem storan bateri, sel bahan api hidrogen dan banyak lagi.

“Kami menyepadukan semua ini dengan perniagaan tenaga solar kami untuk menjadikannya lebih baik untuk semua pelabur dan pelanggan RE kami,” katanya.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]