Berita

Petronas bekal gas kepada Petchem Sarawak, SEB



BINTULU, 22 Ogos  (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan membekalkan gas asli kepada Sarawak Petchem Sdn Bhd (SPSB) dan Sarawak Energy Bhd (SEB) pada tahun depan menerusi pembangunan kemudahan penghantaran gas di Tanjung Kidurong.

Kemudahan Jualan Gas Tambahan Bintulu - 2 (BAGSF-2), yang terletak di kawasan seluas 70 hektar yang dilengkapi bangunan pentadbiran, kawasan pemprosesan, stesen pemeteran dan utiliti, direka bentuk dengan kemampuan untuk menyalurkan sehingga 390 juta kaki padu standard sehari (mmscfd), kata Petronas dalam satu kenyataan.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan majlis pecah tanah kemudahan itu di sini hari ini.

Kemudahan itu akan menyalurkan 160 mmscfd gas asli ke loji metanol milik kerajaan Sarawak, yang sedang dalam pembinaan di Tanjung Kidurong dan akan dikendalikan oleh SPSB.

Sebanyak 70 mmscfd lagi akan dibekalkan ke loji Janakuasa SEB Tanjung Kidurong manakala kapasiti selebihnya akan dibekalkan kepada pelanggan pada masa akan datang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz berkata pembangunan BAGSF-2 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam komitmen syarikat petroleum negara untuk bekerjasama dengan kerajaan Sarawak bagi pertumbuhan mampan industri minyak dan gasnya.

"Apabila beroperasi, BAGSF-2 akan menghasilkan aktiviti tambah nilai baharu untuk sumber hidrokarbon di Sarawak, yang menyokong aspirasi kerajaan negeri untuk petrokimia dan industri kuasa domestiknya.

“Kami sentiasa berharap untuk membangunkan perkongsian yang kukuh dengan kerajaan negeri dalam membangunkan sumber Sarawak bagi kemakmuran bersama di peringkat negeri dan negara,” katanya pada majlis tersebut.

Pada 2016, Petronas menandatangani perjanjian dengan kerajaan Sarawak untuk membekalkan sejumlah 450 mmscfd gas asli kepada negeri itu untuk penjanaan kuasa dan industri petrokimia milik kerajaan. Pada tahun lepas, syarikat petroleum negara menandatangani satu lagi Memorandum Persefahaman untuk meningkatkan bekalan kepada 1,200 mmscfd ke Sarawak.

Petronas dan kerajaan negeri Sarawak turut memperingati pencapaian kerjasama strategik mereka dalam pembangunan industri minyak dan gas di Sarawak melalui satu acara yang diadakan di luar majlis Dialog Strategik Tahunan Sarawak-Petronas 2022 di sini.

Dialog tersebut merupakan platform utama untuk mengukuhkan kerjasama antara Petronas dan kerajaan negeri.

Melalui platform itu, kedua-dua pihak komited ke arah meningkatkan persekitaran perniagaan dan pelaburan yang stabil, kondusif untuk pertumbuhan mampan industri di Sarawak.

Turut hadir Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]