Datuk Seri Mohamed Azmin
KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Tenaga Penerbangan Mampan dalam usaha mengurangkan jejak karbon dalam industri aeroangkasa.
Ketika mengumumkannya, Menteri Kanan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pasukan terbabit akan mengemukakan cadangan dasar serta menyelaras pelaksanaan kerjasama awam-swasta di peringkat kebangsaan, termasuk berkaitan dengan pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) di negara ini.
Beliau berkata, pasukan terbabit akan dianggotai oleh wakil kerajaan dan sektor swasta termasuk Malaysia Aviation Group, Air Asia dan Petronas.
“Pasukan ini akan mengumpulkan maklum balas bagi pihak industri bagi tujuan kerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk membangunkan serta menetapkan pergerakan aeroangkasa negara yang turut melibatkan penyertaan penggiat industri tempatan.
“Usaha ini bagi memastikan sasaran berkaitan SAF dapat dicapai. Kita mahu SAF ini menjadi satu keutamaan bagi tempoh masa tertentu yang selaras dengan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta matlamat Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara neutral karbon menjelang 2050,” kata beliau kepada media selepas merasmikan acara Sidang Kemuncak Aeroangkasa Malaysia 2022 (MyAERO’22) di sini, hari ini.
Mohamed Azmin menyifatkan usaha tersebut dapat membantu Malaysia menjadi perintis industri aeroangkasa yang menggunakan teknologi hijau dan seterusnya menyumbang kepada alam sekitar yang lebih bersih dan selamat.
Beliau berkata, Malaysia Airlines misalnya telah melakukan penerbangan sulung menggunakan teknologi SAF dari Kuala Lumpur ke Singapura pada 5 Jun lepas yang menjadi satu kejayaan bagi syarikat penerbangan nasional itu dalam penglibatan teknologi hijau seumpamanya.
Terdahulu ketika berucap, Mohamed Azmin menyifatkan industri aeroangkasa Malaysia dalam trajektori meningkat, sekali gus membantu meletakkan negara ini sebagai kuasa serantau selain memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan industri aeroangkasa global.
Pada tahun lepas, industri tersebut mencatatkan masing-masing pelaburan bernilai RM104.7 juta, jumlah perdagangan RM13.84 bilion serta hasil mencecah RM12.2 bilion.
“Pakej kerja-kerja bernilai RM2 bilion telah dianugerahkan kepada industri aeroangkasa tempatan yang berkaitan dengan projek pembesaran penyelenggaraan serta pembaikan dan baik pulih (MRO) bernilai RM600 juta yang dijangka dapat dilaksanakan pada suku keempat tahun ini.
“Malah, pada acara Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough bulan lepas, syarikat-syarikat Malaysia berjaya meraih janji niaga bernilai RM572.6 juta,” kata beliau.
Mohamed Azmin berkata kerajaan juga kekal komited dari segi memberi kemudahan untuk pertumbuhan industri aeroangkasa menerusi pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
“MITI misalnya akan menumpukan tiga bidang utama dari segi hala tuju dasar dan inisiatif-inisiatif strategik dalam masa terdekat seperti perdagangan dan pembangunan mampan, rantaian bekalan yang berdaya tahan serta pembangunan modal insan," kata beliau.
Pada acara MyAERO’22, Mohamed Azmin telah menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Spirit Aerosystems Malaysia Sdn Bhd dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) selain SeniorAerospace UPECA Aerotech Sdn Bhd dan UTHM yang membabitkan inisiatif akademik dan pendidikan.
Selain itu, satu MoU turut ditandatangani antara Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka membabitkan penubuhan makmal perindustrian bagi menjalankan aktiviti pembangunan komposit aeroangkasa.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]