Berita

Plus Xnergy yakin penggunaan solar komersial, isi rumah akan meningkat

Plus Xnergy Holding Sdn Bhd Group CEO Ko Chuan Zhen

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga bersih beribu pejabat di Malaysia, Plus Xnergy Holding Sdn Bhd (Plus Xnergy) yakin bahawa penggunaan tenaga solar akan meningkat dalam kedua-dua segmen komersial dan isi rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ko Chuan Zhen berkata krisis tenaga global dan peningkatan minat terhadap matlamat tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) telah mewujudkan permintaan yang tidak dijangka.

“Kami mempunyai pelanggan merangkumi syarikat besar tempatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memulakan hala tuju ESG mereka, dan juga telah membantu lebih 60 syarikat multinasional (MNC) memanfaatkan tenaga bersih.

“Cadangan ESG yang kukuh membantu syarikat menerokai pasaran baharu, menarik perniagaan dan pengguna serta mengekalkan kelebihan daya saing,” katanya kepada Bernama.

Ko berkata ini juga selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kerajaan Malaysia untuk menerima pakai kemampanan dan menjadi negara neutral karbon menjelang 2050 sambil menambah bahawa tenaga solar kini merupakan pilihan yang paling berskala dan berdaya maju, terutamanya dengan insentif kerajaan.

“Walaupun kos panel solar mungkin menjadi halangan, kami percaya peningkatan permintaan boleh mendorong harga menjadi lebih berpatutan kerana skala ekonomi mempengaruhi hasilnya.

“Kami akan memberi tumpuan kepada mendapatkan bakat yang akan membantu kami berkembang dan memenuhi tuntutan ini sambil mencari peluang di dalam dan luar negara,” tambahnya.

 

PENJENAMAAN SEMULA KEPADA PENSTRUKTURAN SEMULA

 

Pada kemuncak pandemik melanda pada pertengahan 2021, syarikat telah membuat penstrukturan semula untuk menjadikan Plus Xnergy sebagai syarikat pegangan utamanya, dengan Plus Xnergy Services Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai Plus Solar Systems Sdn Bhd) sebagai anak syarikat kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan manakala Plus Xnergy Edge Technologies Sdn Bhd sebagai anak syarikatnya yang memfokuskan teknologi.

Susulan daripada langkah penstrukturan semula itu, Plus Xnergy mempunyai empat entiti perniagaan utama yang memfokuskan pada penyediaan perkhidmatan perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan perniagaan kepada pengguna (B2C), penyelesaian tenaga Kecerdasan Buatan Pelbagai Benda (AIoT) dan syarikat-syarikat pengurusan aset di dalam dan di luar Malaysia.

Perkhidmatan B2B syarikat memberi tumpuan kepada segmen komersial dan perindustrian, menyediakan perkhidmatan penyelesaian solar siap bina (turnkey) untuk melangkaui solar dengan meneroka storan bateri.

Selain itu, syarikat  juga telah memperkenalkan program sewa kepada milik yang pertama di Malaysia kepada pengguna sebagai sebahagian daripada perkhidmatan B2Cnya.

Langkah penstrukturan itu telah mewujudkan lebih ketangkasan dan fokus untuk menolak sempadan kawasan masing-masing ke arah pentakrifan semula penjanaan dan kecekapan tenaga, kata Ko.

“Walaupun jarang bagi perniagaan untuk mengambil keputusan membuat penjenamaan semula ketika keadaan sukar, kami melihat keperluan yang lebih mendesak untuk mengubah dan menyusun semula strategi penyelesaian kerana percaya penstrukturan semula akan membantu kami memacu hasil dalam pelbagai segmen  -  daripada solar rumah kepada perjanjian komersial dan pembelian kuasa.

“Kami adalah syarikat pertama di Malaysia yang mempunyai aliran hasil sedemikian dengan menyediakan penyelesaian sejajar dengan trilogi tenaga - penjanaan tenaga, kecekapan tenaga dan penyimpanan tenaga,” katanya.

Ko juga berkata Plus Xnergy menyasarkan untuk berada di barisan hadapan dalam inovasi, membawa penyelesaian dan pulangan yang lebih baik serta  penjimatan yang lebih tinggi kepada pelanggannya.

“Untuk segmen AIoT, kami menggunakan SOURCE, platform tenaga pintar untuk bangunan pejabat, pusat beli-belah dan kilang pembuatan.

"Pengupaya teknologi AIoT akan memantau, menganalisis dan mengoptimumkan corak dan data tenaga, mengubah cerapan kepada penjimatan dan risikan perniagaan," katanya.

Beliau menambah penyelesaian storan bateri membolehkan tenaga solar menyumbang kepada grid bekalan elektrik walaupun ketika matahari tidak bersinar dan membantu melancarkan variasi dalam cara tenaga solar mengalir pada grid sambil mengimbangi kos dan kecekapan untuk pengguna.

“Variasi ini disebabkan oleh perubahan dalam jumlah cahaya matahari yang memancar ke panel fotovolta (PV) atau sistem kuasa terma suria (CSP) yang menumpukan padanya,” jelas beliau.

Sementara itu, mengenai pengembangan perniagaan, Ko berkata selain memberi tumpuan kepada pasaran domestik, syarikat juga sedang meneroka negara-negara Asia Tenggara yang berpotensi tinggi seperti Indonesia.

“Perniagaan kami memerlukan kehadiran fizikal dan tidak boleh dikekalkan secara maya. Memandangkan sekarang perjalanan rentas sempadan boleh dilakukan semula, kami akan meneruskan kembali rancangan pengembangan syarikat,” tambahnya.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]