Berita

Kerajaan akan lancar Dasar Tenaga Negara hujung bulan ini - Mustapa

Datuk Seri Mustapa Mohamed. (File pix)

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan melancarkan Dasar Tenaga Negara 2021-2040 pada hujung bulan ini untuk meningkatkan aliran pelaburan dan memajukan matlamat pembangunan mampan Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, terdapat keperluan bagi mempunyai dasar dan peraturan untuk memanfaatkan peralihan Malaysia kepada tenaga yang lebih bersih kerana peralihan tenaga global akan mewujudkan pelbagai cabaran serta peluang kepada sektor tenaga dan ekonomi.

"Saya amat berharap Dasar Tenaga Negara akan menyumbang kepada kualiti hidup yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, daripada segi ekonomi yang lebih kukuh dan masyarakat yang lebih mesra alam,'' katanya dalam ucaptama pada seminar setengah hari mengenai Matlamat Pembangunan Mampan 7 (SDG7) di sini hari ini. 

Seminar setengah hari itu dianjurkan bersama oleh Tenaga Nasional Bhd dan Unit Perancang Ekonomi.

Mustapa berkata Malaysia perlu menggunakan alternatif seperti tenaga boleh diperbaharui (RE) dan tenaga baharu apabila negara mula mengurangkan kebergantungan ke atas arang batu. 

Malaysia telah menyemak semula sasaran kapasiti RE nasionalnya kepada 31 peratus berbanding 20 peratus menjelang 2025, katanya. 

Sumbangan RE dalam gabungan kapasiti yang dipasang diunjurkan naik kepada 40 peratus daripada 31 peratus menjelang 2035 dalam Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Diperbaharui Malaysia.

Di samping itu, teknologi penangkapan, penggunaan serta penyimpanan karbon bagi mengurangi bahan pencemaran itu juga perlu diterokai, dan jika didapati boleh dilaksanakan, mesti diterima, katanya. 

"Kita mengakui keperluan bagi mengukuhkan kerjasama antarabangsa untuk memastikan akses sejagat kepada tenaga yang berpatutan serta yang boleh dipercayai. Kita perlu kejelasan dalam agenda tenaga negara dan memastikan bahawa lampu di rumah kita akan sentiasa menyala.

"Kita juga perlu memastikan bahawa sistem kita kekal teguh serta berdaya tahan dalam menguruskan gangguan semasa peralihan tenaga global," kata Mustapa, sambil menambah akan wujud implikasi kos dan perubahan sistemik yang perlu ditangani oleh kerajaan.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]