Berita

Malaysia berpotensi jadi hab pembuatan sel bahan api hidrogen - MAHE

Prof Datuk Dr Wan Ramli Wan Daud (File Photo)

KUALA LUMPUR, 4 Ogos  (Bernama) -- Malaysia berpotensi menjadi hab pembuatan sel bahan api hidrogen untuk aplikasi dalam mobiliti hidrogen dan sistem bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS), kata Persatuan Tenaga Hidrogen Malaysia (MAHE).

Presiden Pengasasnya Prof Datuk Dr Wan Ramli Wan Daud berkata terdapat peluang untuk syarikat tempatan dan antarabangsa menceburi bidang pembuatan sel bahan api hidrogen di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata terdapat dua projek utama membabitkan mobiliti hidrogen dan sistem UPS yang dicadangkan untuk dijalankan di Malaysia sehingga 2025.

“Projek pertama ialah demonstrasi kemasukan hidrogen dalam pasaran dan aplikasi sel bahan api untuk projek mobiliti hidrogen di kawasan bandar yang melibatkan pengisian bahan api hidrogen hijau daripada solar/hidro/biojisim dan sel bahan api untuk kereta dan bas.

“Projek lain termasuk aplikasi sel bahan api hidrogen dalam UPS untuk menara telekomunikasi dan kuasa pusat data,” katanya di Sidang Kemuncak Hidrogen ASEAN 2022 secara maya hari ini.

Beliau juga merupakan salah seorang ahli panel pada sidang kemuncak itu.

Wan Ramli berkata terdapat juga peluang untuk pemain industri menceburi pengeluaran motor elektrik magnet kekal untuk kegunaan mobiliti hidrogen serta elektrolisis pemisah air untuk pengeluaran hidrogen hijau.

"Untuk aplikasi mobiliti hidrogen, kita juga perlu mengeluarkan motor elektrik magnet kekal dan Malaysia mempunyai industri nadir bumi yang boleh digunakan bagi menghasilkan unsur nadir yang diperlukan untuk pengeluaran motor tersebut," katanya.

Beliau berkata cabaran utama yang dihadapi oleh industri ketika ini ialah kekangan rantaian bekalan sel bahan api, magnet kekal, bahan dan komponen elektroliser serta sumber manusia dan pekerja mahir.

Sementara itu, Wan Ramli berkata mengikut Wawasan Majlis Hidrogen 2050, ekonomi hidrogen global dianggarkan menjana sekitar US$2.5 trilion (US$1=RM4.46) menjelang 2050 seiring dengan penciptaan 30 juta pekerjaan.

Beliau berkata melihat kepada saiz aplikasi hidrogen global, kira-kira 10 exajoule (EJ) hidrogen yang dihasilkan telah digunakan dalam segmen bahan suapan kimia pada 2020.

“Melangkah ke arah 2050, selain bahan suapan kimia, kita akan melihat peningkatan besar dalam aplikasi hidrogen di segmen pasaran lain, terutamanya dalam mobiliti dan pengangkutan dengan anggaran 22 EJ, tenaga industri dan pemanasan bangunan (27 EJ) serta penjanaan kuasa (9 EJ),” tambahnya.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]