KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Permintaan hidrogen global dijangka meningkat dengan ketara antara 150 dan 600 juta tan metrik menjelang 2050, daripada 90 juta tan metrik yang digunakan pada 2020, kata seorang pakar tenaga.
Ahli program kanan WRI India untuk e-mobiliti dan hidrogen, Anuraag Nallapaneni berkata permintaan untuk pengeluaran hidrogen akan berdasarkan pelbagai senario perubahan iklim di seluruh dunia.
“Simulasi oleh Forum Ekonomi Dunia menunjukkan kepada kita bahawa senario iklim termasuk senario cita-cita tinggi (di bawah 1.8°C pemanasan global); senario cita-cita sederhana (1.8 hingga 2.3°C); dan senario cita-cita rendah (potensi pemanasan global melebihi 2.3°C).
"Selepas 2030, senario pemanasan global yang bercita-cita tinggi akan menyaksikan permintaan hidrogen yang lebih kukuh," katanya semasa sesi bersama panel di Sidang Kemuncak Hidrogen Asean 2022 secara maya hari ini.
Beliau berkata dalam tempoh tiga dekad akan datang, permintaan hidrogen akan datang terutamanya dari China, India dan Amerika Syarikat, manakala negara-negara kecil termasuk kebanyakan negara Asean dijangka turut menyumbang kepada permintaan akan datang.
"Adalah penting untuk memastikan bahawa permintaan hidrogen dari negara-negara ini ditangani melalui pengeluaran hidrogen karbon rendah," katanya.
Menurut Anuraag, jika proses penyahkarbonan yang berlaku di seluruh dunia tidak mengambil kira permintaan hidrogen, industri masih akan bergantung pada pengeluaran hidrogen berasaskan gas asli yang akan menghasilkan lebih banyak pelepasan karbon pada masa hadapan.
Beliau menekankan bahawa penggunaan permintaan hidrogen dalam persekitaran hari ini kebanyakannya untuk proses kuasa dan penapisan minyak, serta untuk kegunaan pengeluaran ammonia.
“Walau bagaimanapun, kami menjangkakan banyak aplikasi baharu untuk hidrogen akan muncul dalam beberapa dekad akan datang, termasuk untuk perkapalan antarabangsa, pengangkutan rel dan sektor lain,” katanya.
Dalam pada itu, Anuraag menekankan kepentingan bagi rantau Asean untuk mempunyai pengeluaran tenaga boleh diperbaharui (RE) kos rendah bagi memastikan jaminan tenaganya dikekalkan.
“Gandingan hidrogen dan RE adalah perlu untuk meningkatkan bekalan tenaga hijau asli bagi meningkatkan jaminan tenaga di rantau Asean.
“Pemimpin Asean boleh menggalakkan penggunaan hidrogen dengan menunjukkan komitmen yang tinggi untuk mempromosikan masyarakat hidrogen dengan membangunkan dasar pelaburan strategi yang jelas untuk pembangunan dan penggunaan hidrogen,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]