Berita

TNB cepatkan peralihan tenaga bersih, sasar bahagian signifikan daripada pasaran RM80 bilion

President and chief executive officer Datuk Baharin Din

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) sedang meneroka daya maju penamatan loji arang batu terutama Kapar Energy Ventures (KEV) pada 2028 hingga 2029, setahun sebelum tamatnya Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA), dalam usaha mempercepat proses peralihan kepada tenaga bersih memandangkan ia menyasarkan bahagian yang signifikan daripada nilai pasaran RM80 bilion menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Baharin Din berkata pihaknya berharap langkah itu dapat dimulakan dengan KEV, dan meneroka daya maju penamatan loji 1400 MW itu sehingga setahun sebelum tamat tempoh PPA tertakluk kepada persetujuan pemegang saham serta kelulusan pihak berkuasa dan pengawal selia yang berkaitan.

“Bagi memperkasakan semula loji dengan teknologi baharu, kami menerima Surat Niat baru-baru ini supaya membenarkan penjanaan semula loji berkuasa gas 1400 MW kami di Paka (terletak di Terengganu) yang kami mahu ia bersedia untuk hidrogen menjelang 2029,” katanya semasa taklimat bersama editor di sini, pada Selasa.

Beliau berkata TNB juga sedang berusaha untuk membina pakatan strategik dengan rakan kongsi teknologi yang mampu menyediakan teknologi, keupayaan dan sinergi modal untuk meletakkan TNB Power Generation Sdn Bhd (GenCo) sebagai peserta yang lebih hijau dan lebih mampan dalam sektor penjanaan kuasa.

Ini termasuk mencari rakan usaha sama yang berpotensi untuk memajukan lagi pembangunan hidrogen sebagai sumber tenaga bersih yang berdaya maju, katanya.

Baharin berkata TNB komited untuk mengubah GenCo dari segi prestasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk menjadi penjana tenaga yang lebih hijau.

“Memandangkan permintaan terhadap tenaga bersih meningkat dengan peralihan tenaga, kami mengunjurkan nilai pasaran tenaga bersih mencecah RM65 bilion hingga RM80 bilion, dan kami mahu menguasai sebahagian besar pasaran, kira-kira RM40 bilion menjelang 2050,” katanya.

Beliau berkata menerusi langkah secara perlahan-lahan untuk meningkatkan nilai perusahaan dan kedudukan kemampanan GenCo, pihaknya juga kekal terbuka kepada kemungkinan pelaksanaan tawaran awam awal (IPO) untuk GenCo sekiranya peluang itu muncul.

Langkah-langkah itu menumpukan pengurangan pelepasan karbon dan memetakan pertumbuhan perniagaan untuk TNB daripada teknologi tenaga bersih seperti penyerapan karbon, penggunaan dan penyimpanan (CCUS); hidrogen sebagai bahan api bersih serta penilaian awal terhadap reaktor modular kecil jika terbukti berdaya maju secara komersial.

Penceburan dalam teknologi hijau baharu juga dijangka meningkatkan pertumbuhan sektor ekonomi baharu.

Semua inisiatif ini bertujuan mempercepat usaha merealisasikan aspirasi kemampanan bagi pelepasan sifar bersih menjelang 2050 seperti yang diumumkan TNB tahun lepas, dalam usaha berterusan untuk mencapai sasaran ESG serta memastikan pertumbuhan perniagaan berlanjutan.

Inisiatif-inisiatif ini merentas rantaian nilai elektrik, daripada peralihan penjanaan kuasa kepada sumber yang lebih bersih, mempertingkat Grid Masa Depan (GoTF) untuk membolehkan lebih banyak penyelesaian hijau dan memudahkan penyertaan pengguna dalam peralihan tenaga termasuk melalui penggunaan kenderaan elektrik (EV).

 

Memperluas Pasaran Tumpuan untuk Mengembangkan Portfolio RE

 

TNB, dipacu oleh bahagian tenaga baharu, komited untuk menyokong Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER), yang menyasar untuk mencapai kapasiti tenaga boleh baharu (RE) sebanyak 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2035.

Di peringkat antarabangsa, TNB merancang untuk mengembangkan portfolio RE dalam pasaran sedia ada serta pasaran bersebelahan serta merentas Asia Pasifik dan Eropah.

Pertumbuhan itu akan dilaksanakan dengan menempatkan dan menambah kepakaran dalam pembangunan aset RE merentas solar dan angin, di darat dan luar pesisir, dilengkapi dengan penyimpanan utiliti dalam pasaran terpilih.

Antara pemboleh utama bagi strategi pertumbuhan RE TNB adalah dengan menjalinkan perkongsian strategik untuk mempercepat kemasukan pasaran selain pembangunan keupayaan bagi merealisasikan kecemerlangan operasi.

TNB menyasar untuk menyerap secara berpotensi lebih 14 GW kapasiti RE pada 2050, yang akan diterjemahkan kepada pengelakan CO2 dengan anggaran 6.9 juta Tco2/MWj.

 

Pelaburan Berterusan Bagi Grid Masa Depan

 

Selaku penjaga infrastruktur tenaga negara, TNB akan meneruskan pelaburan bagi membangunkan GoTF sebagai pengupaya kritikal dalam usaha peralihan tenaga Malaysia.

Malah, di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3), peruntukan sebanyak RM2.6 bilion disediakan bagi tujuan peralihan tenaga untuk mengimbangi aspek keselamatan grid, kemampanan serta kemampuan.

“Sehubungan itu, kami terus melakukan libat urus dengan penggubal dasar dan pengawal selia bagi memastikan TNB dapat memperuntukkan pelaburan yang memadai untuk memperkukuh serta menambah baik infrastruktur grid. Kami berhasrat untuk mencapai skor 85 peratus dalam Indeks Grid Pintar menjelang 2025 daripada 67.9 peratus pada masa ini,” kata Baharin.

Selain grid nasional, TNB juga menyokong kerjasama serantau bagi memperkukuh sambungan grid antara rantau, terutamanya bagi rantau ASEAN bagi mencapai jaminan keselamatan tenaga yang lebih ketara.

 

Tumpuan Terhadap Pembangunan Ekosistem EV

 

Sejajar hasrat untuk memperkasa penyertaan pelanggan dalam peralihan tenaga, TNB menyasarkan bagi mempercepat aspek penggunaan kenderaan elektrik (EV) bagi mencapai potensi nilai pasaran berjumlah RM1.3 bilion menjelang 2030.

TNB akan melabur sebanyak RM90 juta bagi menyokong ekosistem EV untuk tempoh tiga tahun dengan menumpukan lima bidang termasuk kemahiran semula dalam industri EV; pengelektrikan kekuatan TNB sendiri; membangunkan infrastruktur pengecasan; penajaan atau pembiayaan kajian berkaitan EV dan memupuk kerjasama dalam kalangan penggiat sektor tersebut.

Menurut Baharin, usaha-usaha ini bertujuan meningkatkan lagi permintaan sektor tenaga dengan menggalakkan pelaksanaan EV dengan sasaran mencapai 500,000 EV di jalan raya Malaysia menjelang 2030.

“Setengah juta EV itu adalah menyamai kira-kira 2.318 TWj dari segi keperluan pengecasan elektrik yang bernilai hampir RM1.26 bilion. Ini belum lagi mengambil kira manfaat tambahan dari segi pengurangan pelepasan 4.4 juta tan karbon dioksida apabila kenderaan berkapasiti enjin pembakaran dalaman ini tidak lagi berada di jalan raya.

“Potensi impak positif ini untuk iklim serta keuntungan syarikat hanya menjadikan pembangunan ekosistem EV ini satu keutamaan yang jelas bagi TNB,” katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]