Berita

Projek loji janakuasa hidroelektrik Nenggiri akan diteruskan - Takiyuddin



KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Pembinaan projek loji janakuasa hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan yang berkapasiti 300 megawatt akan diteruskan oleh anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu TNB Power Generation Sdn Bhd (TPGSB).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kerja pembinaan stesen janakuasa itu telah dimulakan sejak 1 Mac tahun ini dan dijangka siap serta mula beroperasi pada 1 Jun 2027.

“Dengan tasik takungan utama seluas 53.84 kilometer persegi, projek ini mampu membantu kerajaan Kelantan mengurangkan kesan fenomena banjir besar yang kerap melanda negeri ini selain mengatasi isu perbekalan air bersih serta pengairan, selain membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan ketika pembinaannya dan pelbagai lagi potensi kegiatan ekonomi apabila ia siap kelak,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) yang ingin tahu sama ada kementerian akan meneruskan projek pembinaan empangan hidroelektrik berkenaan serta ingin tahu sama ada pembinaannya akan menjejaskan kehidupan masyarakat Orang Asli di kawasan sekitar pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Takiyuddin berkata kerajaan tidak menafikan pembinaan empangan Nenggiri akan memberikan kesan kepada flora dan fauna serta tiga perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Kuala Wias, Pos Pulat dan Pos Tohoi yang mempunyai 1,115 penduduk.

Beliau berkata pihak TPGSB telah memulakan kerja awalan pembangunan projek dengan memperoleh semua kelulusan yang diperlukan antaranya Kajian Potensi Mineral, Kajian Penerimaan Awam dan Sosial, Kajian Impak Alam Sekeliling, Kajian Impak Sosial dan Kajian Impak Warisan.

“Bagi memaksimumkan manfaat projek ini dan menjaga kepentingan masyarakat perkampungan yang terlibat serta Orang Asli di kawasan berkenaan, sejak 2014 lagi TNB telah melaksanakan pelbagai program dan tanggungjawab sosial bersama komuniti-komuniti Orang Asli di sekitar tapak cadangan projek,” katanya.

Menurutnya lebih 30 sesi libat urus bersama masyarakat setempat juga telah dilaksanakan.

Selain itu, katanya kajian penerimaan awam oleh UKM Pakarunding Sdn Bhd pada 2018 menunjukkan tahap penerimaan projek oleh penduduk di ketiga-tiga perkampungan meningkat kepada 80 peratus berbanding 69.5 pada 2015.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]