Berita

TNB: Bekalan elektrik negara berdaya harap, mampu pulih dengan pantas



KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) memberi jaminan bekalan elektrik di negara ini adalah berdaya harap dan stabil kerana kejadian gangguan bekalan mampu dipulihkan dalam tempoh segera.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Baharin Din berkata jaminan itu dapat dibuktikan menerusi kejadian gangguan bekalan di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia tengah hari tadi apabila pemulihan bekalan dapat dilaksanakan dengan pantas hasil kecekapan pasukan teknikal TNB.

Selain itu, beliau berkata rangkaian Grid Nasional itu sendiri mempunyai ciri-ciri pintar yang memudahkan kerja pengesanan dan pemulihan bekalan.

“Kami telah dapat menyelesaikan masalah gangguan dalam tempoh wajar, malah ada kawasan yang pulih seawal 20 minit selepas terputus bekalan.

“Pemulihan bekalan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap hasil pelaburan secara berterusan TNB memodenkan grid termasuk mendigitalkannya agar rangkaian pembekalannya lebih stabil, fleksibel dan konsisten,” katanya dalam kenyataan hari ini.

TNB memaklumkan gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sejak 12.39 tengah hari ini berpunca daripada kerosakan satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

Merujuk kejadian itu, Baharin berkata kejadian kerosakan PMU itu adalah kes terpencil serta tidak melibatkan sebarang kerosakan dan telah beroperasi sepenuhnya.

“Keupayaan kami memulihkan bekalan hari ini adalah berikutan pelaburan besar dan berterusan TNB bagi menaik taraf sistem dengan sokongan Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli,” katanya.

Baharin turut memohon maaf kepada semua pengguna yang terlibat dengan gangguan bekalan itu serta memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bersama ST bagi mengambil langkah pencegahan dan usaha penambahbaikan.

-- BERNAMA

 

 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]