Berita

Sarawak fokus penggunaan kenderaan elektrik

Dr Hazland Abang Hipni (left), Prof Dr Anwar Johari (right)

KUCHING, 27 Julai (Bernama) -- Sarawak memberi fokus kepada penggunaan lebih banyak lagi kenderaan elektrik (FCEV-Fuel Cell Electric Vehicles) yang menjadikan hidrogen sebagai sumber tenaganya, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Hipni. 

Katanya fokus ini selaras dengan visi Sarawak serta komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

“Sebagai permulaan kerajaan negeri akan mengimport lebih banyak kenderaan hidrogen bagi kegunaan kabinet negeri,” katanya dalam sidang media selepas mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk merasmikan Persidangan Antarabangsa Berkenaan Tenaga Hijau 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini, hari ini.

Selain itu, katanya sebuah syarikat dari Australia akan membina sebuah kilang pemasangan kereta hidrogen di sini dalam masa terdekat bagi membolehkan harga kenderaan itu lebih rendah dan mampu dimiliki oleh lebih ramai rakyat, berbanding jika ia diimport.

Beliau mengambil contoh kejayaan Norway yang hanya mengambil masa empat tahun menggalakkan rakyatnya menggunakan kenderaan elektrik menerusi pengecualian cukai import dan diskaun cukai pendapatan, yang menyaksikan 75 peratus kenderaan di negara itu merupakan kenderaan elektrik.

Sementara itu Hazland berkata Sarawak kini sudah mencapai satu peringkat untuk menerima pelaburan langsung asing dari seluruh dunia untuk membangunkan industri tenaga hijau khususnya hidrogen di Sarawak.

“Sekarang ini, sudah ada dua syarikat iaitu syarikat dari negara Korea dan Jepun dengan usaha sama syarikat tempatan Sarawak untuk membina kilang hidrogen di Bintulu,” katanya.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]