Jason Loh Seong Wei
Oleh Voon Miaw Ping
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Malaysia perlu mengurangkan pergantungannya kepada bahan api fosil dalam penjanaan elektrik, dan harus mempercepatkan usaha untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB).
Ketika negara di dunia dibebani harga bahan api melambung tinggi disebabkan kekurangan bekalan dan permintaan tinggi untuk tenaga, krisis tenaga yang semakin meruncing telah membuka mata Malaysia untuk mengambil tindakan lebih konkrit dalam meningkatkan keselamatan tenaga dan membuat persediaan lebih baik untuk mendepani sebarang ketidaktentuan tenaga masa depan.
Ketua Hak Asasi Manusia, Undang-undang & Sosial EMIR Research, Jason Loh Seong Wei berkata banyak lagi boleh dilakukan untuk memanfaatkan potensi besar TBB.
Negara boleh memulakan langkah ke arah itu dengan meningkatkan campuran tenaga, menerusi menggalakkan sumber TBB, jadi ia secara beransur-ansur dapat mengurangkan pergantungan pada loji janakuasa yang dipacu bahan api fosil.
Pada masa sama, langkah perlu diambil untuk meningkatkan kapasiti loji janakuasa hidro sedia ada untuk menjana elektrik, katanya.
“Kita harus menjadi inovatif dan kreatif dalam memaksimumkan kapasiti penjanaan kuasa empangan kita dengan menggabungkan teknologi fotovoltaik solar (PV) dengan kuasa hidro. Sebagai contoh, ini boleh dilakukan dengan menyepadukan ladang solar PV dengan empangan, selain sebagai takungan,” katanya.
Malaysia sangat bergantung kepada bahan api fosil sebagai sumber utama penjanaan kuasa dengan arang batu menyumbang 59.2 peratus dan gas 34.3 peratus.
Menurut Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dalam laporannya pada 2021, bahagian TBB di Malaysia kekal di bawah purata global dan serantau.
Sehingga 2020, TBB menyumbang 23 peratus daripada kapasiti tenaga negara berbanding 37 peratus purata global dan 30 peratus purata di rantau Asia Tenggara.
Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu kepada 31 peratus menjelang 2025 selain turut komited mencapai neutral karbon menjelang 2050.
“Apa yang kita lakukan masih belum cukup. Walaupun kita mempunyai Tarif Suapan (FiT) dan skim Tarif Elektrik Hijau (GET) yang baru diperkenalkan, dasar pengguna akhir atau subsektor hiliran (pengagihan elektrik) perlu disokong dengan lebih kukuh oleh dasar dalam aliran pertengahan (transmisi elektrik) dan subsektor huluan (penjanaan elektrik industri),” kata Loh.
Skim GET membolehkan pengguna elektrik domestik dan industri di Semenanjung Malaysia memilih tenaga elektrik yang dijana daripada sumber tenaga boleh baharu seperti kuasa hidro dan loji solar mulai 1 Januari 2022.
Beliau juga mencadangkan bahawa di bawah Pelan Tindakan Industri Biomas Malaysia (MBIAP) unit penjanaan biogas berskala kecil boleh ditubuhkan untuk menukarkan sisa kepada biogas untuk loji kuasa.
“Hasilnya, ia akan mengurangkan sisa tapak pelupusan sampah, mengurangkan jumlah metana yang dibebaskan ke alam sekitar, dan merangsang peluang perniagaan untuk PKS dalam industri biogas,” katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Putra Business School Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata lebih banyak tumpuan juga perlu diberi kepada penciptaan infrastruktur dan teknologi yang betul untuk memanfaatkan tenaga daripada sumber boleh baharu seperti solar, hidro, hidrogen hijau dan biobahan api.
“Sektor elektrik Malaysia seharusnya mula mengurangkan pergantungan kepada bekalan arang batu dan gas. Syarikat penjanaan kuasa terkemuka Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB), harus komited dengan rancangan jangka panjangnya untuk mengurangkan pergantungan kepada bekalan arang batu.
“Untuk mencapai pelepasan karbon Sifar Bersih, TNB perlu mempercepatkan pelaburan dalam teknologi hijau baru muncul seperti hidrogen hijau – sebaik sahaja ia berdaya maju dari segi ekonomi,” katanya.
Menurutnya, pada masa ini, TNB telah mengambil alih beberapa syarikat tenaga boleh baharu dan mula memberi tumpuan kepada hidrogen hijau, selain menghasilkan tenaga berasaskan solar dan hidro.
Syarikat elektrik terbesar negara itu juga komited terhadap pertumbuhan penjanaan tenaga boleh baharu yang ketara dan pengurangan 50 peratus dalam kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035 dan mencapai Sifar Bersih & Bebas Karbon menjelang 2050, tambahnya.
“Ini strategi yang baik tetapi perlu lebih waktu untuk mula menghasilkan impak yang lebih besar kerana TNB perlu masa untuk menggantikan loji janakuasa arang batu dan gas sedia ada kerana memerlukan perbelanjaan modal yang tinggi.
“Saya percaya bahawa TNB sudah berusaha untuk melabur dalam TBB, terutamanya dengan mengambil kira peluang pertumbuhan baharu,” katanya sambil menyatakan Malaysia sudah pun bergerak ke arah TBB, meskipun agak perlahan.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]