Berita

Petronas kekalkan kedudukan sebagai jenama O&G paling kukuh dunia



KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai jenama minyak dan gas (O&G) paling kukuh dunia untuk tahun ketiga berturut-turut, demikian menurut laporan tahunan Brand Finance 2022 mengenai jenama paling bernilai dan kukuh bagi sektor itu.

Malah, Petronas juga kekal sebagai dalam kelompok 10 jenama O&G global paling bernilai pada 2022.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat petroleum nasional itu menyifatkan kedudukan tersebut disumbangkan oleh rankingnya dalam Indeks Kekukuhan Jenama (BSI) yang meningkat daripada 87 pada tahun lepas kepada 87.7 pada 2022.

Kedudukan itu berdasarkan prestasi jenama serta tumpuannya terhadap langkah-langkah tidak ketara berbanding dengan pesaing.

Brand Finance memberi penilaian ke atas ekuiti pihak berkepentingan yang merangkumi data penyelidikan pasaran asal daripada lebih 100,000 responden di lebih daripada 35 negara dan merentasi hampir 30 sektor.

Dalam laporan Brand Finance Global 500 2022 mengenai jenama dunia paling bernilai yang dikeluarkan pada awal tahun ini, prestasi jenama Petronas yang konsisten telah menyumbang kepada nilai jenama sebanyak US$13.6 bilion (US$1=RM4.40) pada 2022 iaitu peningkatan sebanyak 13 peratus daripada 2021.

Menurut laporan itu, selain penilaian jenama, Brand Finance turut menentukan kekukuhan relatif jenama menerusi kad skor seimbang yang meneliti aspek pelaburan pemasaran, ekuiti pihak berkepentingan dan prestasi perniagaan.

Brand Finance juga menyifatkan Petronas berada dalam kedudukan baik untuk terus memperkukuh jenamanya sejajar dengan sasaran syarikat bagi mempelbagaikan tawaran pilihan tenaga yang seiring dengan aspirasi mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata pencapaian Petronas membuktikan daya tahan serta kegigihan tenaga kerjanya dalam mengharungi tempoh gangguan ketara ke atas ekosistem tenaga selama dua tahun.

“Biarpun kami menempuh persekitaran berisiko dan tidak menentu dengan kedudukan yang lebih stabil, keutamaan Petronas adalah bagi memastikan jaminan keselamatan bekalan tenaga untuk Malaysia serta semua pelanggan di serata dunia.

“Usaha untuk menyempurnakan komitmen ini menjadi lebih sukar ketika persekitaran geopolitik yang meruncing terus mengancam pemulihan pasca-pandemik yang sememangnya goyah,” katanya.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan kekukuhan dan kebolehpercayaan terhadap teras portfolio syarikat dan digabungkan dengan pelbagai tawaran baharu dalam penyelesaian tenaga, Petronas akan berkembang sebagai sebuah ‘kuasa pembekal tenaga’ yang menjana perniagaan serta pertumbuhan secara saksama dan mampan di Malaysia selain di negara-negara asing yang menempatkan operasinya.

 -- BERNAMA 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]